TRUSTED SINCE 1984

Hari Wanita Sedunia – Kisah-kisah perubahan

Bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia, lima wanita dari serata dunia berkongsi kisah-kisah perubahan dan harapan mereka untuk masa depan yang lebih cerah.

Islamic Relief telah menerajui pemerkasaan ekonomi dan sosial kaum wanita selama beberapa dekad, dan tahun ini, kami amat berbangga untuk menyokong tema kempen Hari Wanita Sedunia: #BeraniUntukBerubah

Dari memperjuangkan keusahawanan wanita sehinggalah berkempen menentang keganasan berasaskan jantina, projek-projek dan inisiatif kami yang inovatif telah membolehkan ramai wanita di seluruh dunia untuk mengatasi cabaran mereka dan membina kekuatan untuk menjadi #BeraniUntukBerubah

 

Minire, 50, menetap di Bosnia

IWD_Bosnia

“Kehidupan saya tidaklah mudah. Saya telah kehilangan tiga orang anak, dua daripadanya selepas dilahirkan, dan satu lagi setelah hari jadinya yang kesebelas di dalam sebuah kemalangan. Saya juga telah kehilangan suami saya, yang menyebabkan saya terpaksa membesarkan anak-anak saya yang lain sendirian. Kehilangan telah menjadi sebahagian dari kehidupan saya. Saya mengalami kejutan dan tekanan selama beberapa tahun. Ramai orang yang bersimpati dengan saya, tetapi terdapat satu masa, saya berasa amat terdesak dan tidak lagi bersemangat untuk meneruskan kehidupan, saya telah berjaya mengumpulkan kekuatan yang tidak pernah saya sedari ada pada saya. Saya cuma berpendidikan setakat sekolah renda, tetapi saya telah berusaha mencari latihan vokasional untuk perniagaan permulaan, dan berbincang dengan wanita-wanita lain untuk membuka perniagaan mengait dan menjahit kerana ramai wanita di kampung saya yang mempunyai kemahiran tersebut. Apabila saya mendengar bahawa Islamic Relief ada menawarkan latihan, saya ternampak banyak peluang.  Saya mahu datang ke sini, dan cabar diri saya dan memulakan kehidupan yang baru. Kini, saya bekerja di dalam projek pemerkasaan wanita ini. Wanita adalah kuat – sangat, sangat kuat. Mereka hanya perlu melihat ke dalam diri mereka untuk menemukan semangat dan kekuatan yang mereka miliki. Kekuatan ini datangnya daripada anak-anak yang kami besarkan. Bagi mereka, kami mampu memikul beban dunia di atas bahu kami, dan ya, benar – kami bekerja 24 jam sehari. Kami tidak pernah mengalah dan kami tidak pernah bersungut.  Inilah yang membuat kami golongan yang istimewa.”

 

Taisa, 55, menetap di Chechnya

IWD_Chechnya

“Anak perempuan sayalah punca saya tidak pernah mengalah. Dia tidak membenarkan saya menjadi seorang yang lemah. Sewaktu dia berusia enam bulan, doktor telah tersalah diagnos dia dengan palsi serebrum dan kemudian mengatakan bahawa, dia mungkin menghidap ensefalopati. Saya ada enam orang anak dan saya sentiasa berusaha untuk melayan Diana sebagai seorang anak istimewa. Semasa suami saya biasanya akan meminta Diana untuk melakukan sesuatu seperti mana anak-anak yang lain – saya berasa sedih. Tetapi lama-kelamaan, saya faham bahawa perkara ini lebih baik untuknya. Saya mula bertindak lebih inklusif, dengan membiarkan Diana tidur bersama anak-anak saya yang lain, mengajarnya untuk membersihkan dirinya dan memakai pakaian sendiri, dan membuat kerja-kerja rumah yang lain. Saya mendidik anak-anak saya  untuk melayan Diana seperti orang lain. Kini, Diana boleh menguruskan dirinya sendiri. Walaupun dia mungkin kurang mahir untuk melakukannya, ini telah membuatkan dia berasa sama seperti kanak-kanak lain. Saya telah menubuhkan organisasi sendiri untuk membantu wanita lain, dengan menunjukkan contoh bagaimana untuk menguruskan anak-anak kurang upaya mereka.  Organisasi saya membekalkan ibu dan ibu tunggal kepada anak-anak kurang upaya dengan pelbagai kursus seperti menjahit, mendandan rambut, dan memasak, yang membolehkan mereka menambah pendapatan. Saya juga mengadakan kelas-kelas di sekolah, kolej dan universiti, untuk menggalakkan toleransi dan kefahaman mengenai ketidakupayaan. Saya faham sukarnya golongan ibu yang terpaksa berhadapan dengan kejadian anak kurang upaya mereka disisihkan atau dijadikan sasaran di taman permainan. Masyarakat kita perlu melatih diri untuk menjadi lebih sabar dan bertolak ansur terhadap golongan kurang upaya dan saya mahu membuat sumbangan yang kecil menerusi kursus-kursus yang saya anjurkan.”

 

Fatin Abu Dhaka, 35, menetap di Gaza

IWD_Gaza

“Saya hanya mempunyai satu mesin jahit tua yang sering sahaja rosak sewaktu saya menggunakannya. Saya telah menggunakan mesin ini untuk menjahit pakaian saya dan anak-anak saya kerana ingin menjimatkan duit. Harga pakaian baru terlalu maha. Saya sering memikirkan cara untuk meningkatkan pendapatan keluarga saya dan membantu suami saya. Beliau bekerja, namun pendapatan bulanannya tidak melebihi $150 sebulan, ini tidak mencukupi untuk menampung keperluan asa keluarga kami. Dengan dana yang disumbangkan oleh Islamic Relief, saya telah membeli mesin jahit yang baru, seterika dan sedikit fabrik. Saya memilih untuk membuka perniagaan di kawasan saya yang tidak mempunyai banyak kedai jahit. Semasa bulan pertama beroperasi, saya telah mendapat ramai pelanggan. Pada penghujung bulan, saya telah berjaya memperoleh lebih $200 dan boleh membeli makanan untuk keluarga saya selain membeli lebih banyak fabrik untuk projek jahitan saya. Saya ada berkira-kira untuk menggaji seorang pekerja wanita lain. Wanita ini, yang merupakan kenalan saya, sedang menyara keluarganya yang besar pada waktu itu. Saya berasa amat gembira dapat menjadi wanita yang produktif di dalam komuniti saya dan keyakinan diri saya telah meningkat. Rakan-rakan, keluarga dan jiran-jiran saya semuanya berbangga dengan pencapaian saya.”

 

Uzra Lali, menetap di Afghanistan

IWD_Afghanistan

“Saya buta huruf dan ini telah menyebabkan saya berhadapan banyak masalah. Saya tidak boleh membantu anak saya dalam pelajaran mereka. Semasa saya mengambil ubat-ubatan, saya tidak dapat memahami dos atau masa mengambil ubat tersebut. Di hospital, saya tidak dapat membezakan jabatan-jabatan yang ada. Saya telah menghadiri kelas selama Sembilan bulan. Kami belajar membaca dan mengira. Kini, terdapat banyak perubahan di dalam hidup saya. Saya boleh membantu anak saya dalam pelajaran mereka. Saya boleh menguruskan perniagaan kecil saya, yang menghasilkan sarung tangan, beg, skaf, dan selendang. Wanita kini mempunyai kebebasan untuk belajar. Bengkel-bengkel yang diadakan telah menimbulkan kesedaran kepada wanita dan membolehkan mereka bekerja di masa akan datang, untuk belajar dan berkhidmat kepada masyarakat.”

 

Safiatou Sacko, menetap di Mali

IWD_Mali

“Sejak dewan perbandaran ini dibuka, belum ada sesiapa pun dari kawasan saya, Mana, yang menjadi penasihat. Sayalah orang yang pertama! Saya berasa gembira yang tak terhingga. Siang malam saya akan mengucapkannya! Politik memerlukan anda dikenali ramai, dan jika saya bukan sebahagian dari koperasi ini, orang tidak akan mengenali saya, apatah lagi mahu mengundi saya. Sewaktu saya terpilih, saya bercita-cita untuk membantu semua wanita dalam komuniti saya. Wanita perlu menonjolkan diri mereka sebagai pemimpin bagi membolehkan komuniti mereka berkembang. Saya mahu pendidikan untuk anak-anak perempuan saya. Saya hanya bersekolah sehingga darjah enam sekolah rendah. Saya tidak mahu anak-anak saya menerima nasib yang sama. Saya mahu mereka bersekolah sehingga mereka mendapat pekerjaan. Sekiranya seseorang wanita itu bekerja, beliau boleh menyara dirinya dan juga orang lain.”