Gaza, 16 Jul – Dua kematian direkodkan di Gaza dalam serangan udara beberapa hari yang lalu manakala 12 lagi tercedera.
Insiden yang dirancang oleh Angkatan Pertahanan Israel terbabit dilihat sebagai kempen serangan besar-besaran di Gaza sejak perang pada tahun 2014.
Gencatan senjata juga seolah-olah telah dilanggar oleh pihak terlibat dan situasi berkenaan mungkin bertambah buruk.
Selain dari sekatan laluan, pihak Israel juga telah mengawal sepenuhnya sekatan barang-barang komersial ke wilayah Gaza sekaligus menjejaskan penduduk di kawasan berkenaan.
Bilik gerakan kerja Islamic Relief (IR) Palestine turut terkesan dengan serangan udara itu dengan 5 peluru berpandu dilepaskan dalam lingkungan jarak 200 meter dan antara kawasan tumpuan adalah masjid yang sering digunakan oleh pekerja IR Palestine.
Walau bagaimanapun, IR Gaza masih lagi aktif menghulurkan bantuan iaitu mengagihkan ubat-ubatan kepada pusat perubatan utama yang dianggap sebagai satu keutamaan pada masa ini.
Tahap kerosakan masih belum dinilai namun ia akan dilakukan bagi menyediakan tempat perlindungan dan memulihkan keadaan persekitaran sekiranya serangan udara masih berterusan.