Makanan boleh dikategorikan sebagai keperluan asas bagi setiap manusia di dunia. Ia mengandungi nutrisi penting dan juga vitamin yang diperlukan tubuh badan bagi proses tumbesaran. Sungguhpun demikian, jauh di pelosok dunia, masih ada golongan manusia yang kurang bernasib baik tidak mampu untuk merasai limpahan kemewahan rezeki yang kita ada hari ini. Dalam erti kata lain, mereka hidup dalam kelaparan.
Sebagai permulaan, kelaparan boleh didefinisikan sebagai tempoh masa sementara iaitu lapar disebabkan kekurangan makanan. Dalam sesetengah kes, ia boleh membawa maut sekiranya berpanjangan seperti yang dijelaskan oleh Majlis Penyelidikan Kebangsaan. Sementara itu, kebuluran dunia pula adalah kategori kes di peringkat global termasuklah ketidakselamatan makanan dan malnutrisi. Majlis Penyelidikan Kebangsaan turut menjelaskan ketidakselamatan makanan meliputi akses yang terhad bagi mendapatkan sumber makanan bersih dan selamat manakala malnutrisi pula merupakan pengambilan makanan yang kekurangan nutrisi penting.
Tahukah anda bahawa Organisasi Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (FAO) melaporkan sebanyak 816 juta daripada 7.6 bilion penduduk dunia mengalami kebuluran kronik sejak dua tahun lalu? Senario ini menunjukkan lebih kurang 11 peratus daripada populasi manusia tidak mempunyai akses yang mencukupi bagi memenuhi keperluan nutrisi setiap hari.
Sebagai contoh, di Afrika Timur, Sudan Selatan, Kenya, Ethiopia, dan Somalia, seramai 22 juta penduduk amat terdesak untuk mendapatkan makanan. Daripada jumlah itu, sekitar 3.5 juta kanak-kanak pula mengalami malnutrisi yang melebihi paras kebuluran global. Di Kenya, seramai 700,000 kanak-kanak berumur bawah lima tahun mengalami krisis kebuluran yang kronik. Penduduk Ethiopia pula tertekan dengan wabak penyakit dan tahap keselamatan makanan yang meragukan. Sementara itu di Somalia, 440,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka disebabkan hasil ternakan yang kian merosot dan kekurangan bekalan air.
Jika kita kaji kes kebuluran ini dengan lebih terperinci, ia bukanlah disebabkan atau berpunca daripada satu faktor tertentu, malah ia melibatkan persekitaran lain sehingga menyebabkan penduduk-penduduk terpaksa menghadapinya. Di Selatan Sudan, ketidakstabilan ekonomi menjejaskan hasil ternakan sehingga mengakibatkan pasaran atau bahan mentah merosot dan meningkatkan harga barang-barang. Apa yang menyedihkan, keluarga-keluarga miskin tidak berkemampuan untuk mendapatkan sumber asas iaitu makanan yang seharusnya diberikan kepada anak-anak mereka. Akhirnya, mereka terpaksa meminta bantuan apabila bahan makanan sudah habis.
Perkembangan ekonomi sesebuah negara pula tidak semestinya mampu mengurangkan kadar kebuluran. Menurut World Vision, di salah sebuah negara timur tengah, meskipun ekonominya bertambah positif sejak beberapa tahun yang lalu, maklumat terkini menunjukkan bahawa 40 peratus kanak-kanak berumur bawah lima tahun boleh dikatakan kekurangan berat badan daripada paras normal. Ia sekaligus membuktikan bahawa mereka menghadapi masalah kekurangan zat.
Sebenarnya, tanggapan sedemikian sudah lama diramalkan sejak 2017 oleh Pengarah Assessment Capacities Projects, Lars Peter Nissen yang menjelaskan, “Jika 2017 tidak menampakkan sebarang perubahan, tahun berikutnya akan bertambah buruk: keganasan dan kes-kes berat akan menurun di Afghanistan, Congo, Libya, Ethiopia, Mali, Somalia, dan Syria tahun depan.”
Secara holistiknya, faktor kes kebuluran dunia tidak semata-mata bergantung kepada individu itu sendiri namun ia meliputi pelbagai cabaran dan isu-isu seperti konflik dalaman, polisi makanan dan penternakan yang berat, perubahan iklim dan cuaca, serta kemiskinan melampau di sesetengah kawasan. Seandainya konflik ini berterusan, peratusan kes kebuluran dunia mungkin akan meningkat semula.