Sudah menjadi lumrah manusia untuk berasa gembira dengan kehadiran hari raya sebagai satu sambutan yang amat dinanti. Selepas kemenangan berpuasa selama sebulan, umat Islam khususnya akan meraikan kehadiran Aidilfitri pada 1 Syawal dengan penuh makna sebagai tanda kemenangan mengejar ibadah Ramadan.
Kira-kira dua bulan selepas itu, umat Islam akan meraikan satu perayaan besar yang dikenali sebagai Aidiladha pada bulan Zulhijjah. Hari raya ini disambut setelah sempurnanya ibadah haji yang juga merupakan rukun Islam kelima.
Dalam pada itu, Aidiladha juga disambut bagi memperingati peristiwa Nabi Ibrahim AS dalam menjalankan perintah Allah SWT dan juga kesabaran anaknya, Nabi Ismail AS demi memenuhi perintahNya seperti yang diceritakan dalam surah As-Saffat ayat 102:
فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَىٰ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانْظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ
Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: “Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahwa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!” Ia menjawab: “Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar”.
Islamic Relief Malaysia (IRM) selaku organisasi kemanusiaan antarabangsa juga tidak lekang untuk menyambut Aidiladha melalui projek Qurbani merentasi sempadan yang diadakan setiap tahun. Tahun ini, IRM memperkenalkan kempen #SalamQurbani sebagai langkah untuk mempromosikan projek korban yang dilaksanakan. Secara amnya, #SalamQurbani adalah sebuah projek yang dianjurkan bagi memberi peluang kepada mereka yang berminat untuk menyumbang kepada golongan yang kurang berkemampuan.
Untuk memahami perkara ini lebih mendalam, #SalamQurbani sebenarnya mempunyai beberapa teras utama iaitu:
– Berkongsi keceriaan dalam menyambut perayaan ini bersama penerima manfaat
– Menggalakkan hubungan yang lebih akrab antara IRM dan penerima manfaat
– Menyatukan kepelbagaian etnik dalam memupuk nilai persefahaman
– Meningkatkan nilai Ihsan dan Rahmat yang dipraktikkan oleh Islamic Relief
Kepentingan menyambut #SalamQurbani bukanlah semata-mata untuk menyantuni para penerima manfaat. Ia sebenarnya meliputi keperluan untuk memenuhi tanggungjawab bersama dalam misi kemanusiaan dari sudut ketakwaan seseorang Muslim.
Selain memenuhi keperluan tersebut, jika dikaji secara teliti, masih ramai lagi yang tidak berkemampuan atau begitu jarang untuk menikmati keenakan daging haiwan sebagai santapan mereka. Tahap kemiskinan seperti inilah yang menimbulkan rasa tanggungjawab sosial dalam membantu mengurangkan beban mereka.
Melalui #SalamQurbani, ia sedikit sebanyak dapat membantu penyumbang untuk menyucikan jiwa mereka dengan mengorbankan haiwan yang disedekahkan sekaligus memupuk sifat rendah diri dan mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah SWT. Ia secara tidak langsung menghubungkan titik perantaraan golongan kaya dan kurang berkemampuan dalam menyambut Hari Raya Aidiladha.
Selaras dengan halatuju organisasi, IRM mahu kekal berdiri teguh menuju ke arah dunia prihatin di mana setiap komuniti diupayakan, tanggungjawab sosial dilaksanakan, dan masyarakat bersatu meringankan penderitaan golongan yang memerlukan.