TRUSTED SINCE 1984

Cekal Hadapi Situasi Sukar

Kejayaan setiap manusia pada hari ini tidak akan menjadi realiti tanpa insan yang bergelar ‘ibu’. Benar, seorang ibu mampu menjaga 10 orang anak dan hal ini membuktikan ketulusan seorang ibu menggalas tanggungjawabnya dalam membentuk peribadi mereka. Apatah lagi jika seorang ibu itu sebenarnya tulang belakang kepada anaknya. Namun, pendekatan setiap ibu adalah berbeza dan cabaran yang dihadapi juga dilihat sebagai faktor utama dalam menempuh hari-hari sukar.

 

Julina Lassim, seorang ibu tunggal yang juga merupakan penerima manfaat Islamic Relief Malaysia (IRM) sempat meluangkan sedikit masa untuk menceritakan cabaran yang dialami olehnya. Kehidupan Julina selepas kehilangan suami amat terkesan memandangkan suaminya tidak mempunyai harta peninggalan kecuali rumah pusaka yang kini menjadi kediaman mereka sehingga hari ini.

 

“Kalau dulu, memang amat beratlah sebagai ibu tunggal sebab saya terpaksa galas semua tanggungjawab dan kehidupan bertambah mencabar,” katanya ketika ditemuramah. Julina juga pernah bekerja tetap sebagai pencuci di sebuah kolej swasta namun keadaannya tidak mengizinkan untuk membanting tulang demi sesuap nasi bagi anak-anaknya.

 

Situasi bertambah runcing apabila Julina cuba mendapatkan pencen kilat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) atas faktor kemerosotan tulang belakang yang dihadapinya namun PERKESO tidak melulusakan permohonannya kerana percaya Julina masih mampu bekerja. Selain itu, dia juga pernah menghadapi penyakit Thyroid dan telah menjalani pembedahan. Hal ini sekaligus menjadi punca kehilangan pendapatan Julina untuk menyara keluarganya.

 

Selain itu, Julina turut menjelaskan bahawa dia pernah mendapat bantuan kuih-muih pakej perniagaan kuih-muih dan menerima peralatan yang berkaitan daripada pihak zakat namun tidak berkemampuan untuk meneruskan perniagaan berkenaan atas faktor ketiadaan modal bagi menampung kos-kos perniagaan seterusnya. “Harapan saya, saya teringin nak pergi kursus yang berkaitan dengan perniagaan kerana ingin mencari mata pendapatan.”

 

Ibu kepada empat orang anak ini juga turut menerima lontaran hebat daripada masyarakat luar apabila dua orang daripada anaknya didaftarkan sebagai Disleksia. “Cabarannya saya tak dapat gambarkan. Saya sebenarnya terkilan bila ada guru yang melemparkan kata-kata yang tidak mencerminkan lambang sebagai cikgu kepada anak saya,” jelas Julina. Bukan mudah bagi Julina untuk membesarkan anak yang mengalami disleksia memandangkan ia memerlukan sokongan orang luar dalam mendidik anaknya.

 

Dia turut percaya anaknya itu merupakan pelajar yang berkebolehan dalam pelajaran namun perlu dibimbing sebaik mungkin. Katanya, dalam keperihan yang dihadapi, masih ada insan yang bersedia menghulurkan bantuan. “Saya bersyukur ada anak saudara yang sanggup berkorban masa untuk membimbing anak saya dalam pelajaran.” Mendidik anak yang kurang normal bukanlah mudah baginya. Sungguhpun demikian, Julina tetap akan berkorban demi kebaikan dan masa depan anak-anaknya.

 

Kedua-dua anak Julina yang mengalami Disleksia perlu menghadiri kelas khas dan telah dirujuk untuk ke sekolah khas namun atas faktor pengangkutan dan keadaan fizikalnya yang kurang memuaskan, dia tidak berkemampuan untuk menghantarnya anaknya ke sekolah berkenaan. Tambahan pula, anaknya mempunya jiwa yang besar dan semangat yang tinggi untuk menuntut ilmu di sekolah.

 

Atas faktor kesihatan, Julina tekad untuk terus bekerja di rumah dengan menjual kuih-muih serta biskut demi meneruskan kelangsungan hidup. Sebagai ibu, dia berharap agar anak-anaknya akan dapat menjadi insan yang berguna dan belajar bersungguh-sungguh demi mengubah nasib keluarga kerana anak-anak inilah sumber kekuatannya untuk terus cekal menghadapi liku-liku kehidupan.