TRUSTED SINCE 1984

Bantuan makanan untuk Mali akibat banjir kilat

Hujan yang turun mencurah-curah telah mengakibatkan banjir kilat di bahagian utara Douentza, Mali. Ratusan rumah telah mengalami kemusnahan dan kerosakan akibat malapetaka ini.

Banjir terjadi serta-merta setelah hujan lebat terus menerus turun di kawasan tersebut pada 18 Julai 2016. Ini telah menyebabkan ramai keluarga terkandas tanpa makanan dan penginapan yang selamat. Bekalan makanan simpanan yang menjadi sandaran penduduk kampung dan di sekitar di Douentza juga telah musnah.

Islamic Relief adalah salah satu daripada beberapa agensi bantuan yang telah beroperasi di Douentza, dengan projek jangka panjang yang sedang dilaksanakan di kawasan tersebut untuk membantu mereka yang amat memerlukan. Oleh kerana situasi keselamatan semasa di bahagian utara negara itu, sukar bagi NGO lain untuk menyalurkan bantuan di kawasan ini.

Kesusahan yang mereka alami mungkin tidak akan menjadi berita utama di akhbar dunia, namun operasi kami di Douentza membolehkan kami sentiasa terkehadapan dalam situasi ini. Setelah menjalankan penilaian awal, pasukan kami di Mali sudah mula mengedarkan bekalan makanan dan peralatan asas kepada kampung-kampung yang terjejas, termasuklah lapik plastik, peralatan memasak, tablet pembersihan air dan jaring nyamuk untuk mengelakkan mereka yang kehilangan tempat kediaman tidak terkena jangkitan penyakit akibat banjir ini.

Islamic Relief telah membantu golongan yang terjejas akibat peperangan sivil dan bencana alam di Mali sejak 1997.