Turkiye – Syria, 15 Februari 2023 – Angka korban gempa bumi Turkiye dan Syria telah melepasi 41,000 orang, manakala jumlah penduduk terjejas pula seramai 24.4 juta orang.
Operasi mencari dan menyelamat masih giat dijalankan.
Menurut Reuters, lebih 13,900 bangunan musnah di kedua-dua negara.
Pihak kerajaan telah menjalankan penilaian dan pemeriksaan kediaman bagi membolehkan penduduk setempat kembali ke rumah mereka dengan selamat. Kerja-kerja baik pulih kemudahan juga sudah banyak dilakukan.
Sementara itu, ada sesetengah kawasan masih menghadapi masalah ketiadaan bekalan air dan gas hingga merunsingkan penduduk setempat untuk menghangatkan badan kerana cuaca sejuk kini sudah mencecah negatif lima darjah celcius.
Keperluan mendesak di Turkiye ketika ini ialah bantuan perlindungan tempat tinggal.
Di Syria, penduduk setempat berdepan masalah kekurangan bekalan air.
Pusat penempatan sementara pula sangat padat hingga terpaksa menempatkan antara tiga ke empat buah keluarga dalam satu khemah kerana kemudahan tersebut sangat terhad.
Khemah menjadi keperluan mendesak di Syria ketika ini.
Setakat ini, Islamic Relief telah membantu seramai lebih 387,000 penduduk terjejas di Turkiye dan Syria menerusi agihan bantuan seperti pek makanan, minuman, roti, selimut, tilam, alas plastik, khemah, alat pemanas dan alatan perubatan.