TRUSTED SINCE 1984

Transformasi Masyarakat Orang Asli

Masyarakat Orang Asli sudah sinonim dengan kehidupan di pedalaman dan jauh dari peradaban manusia di kawasan bandar mahupun kampung.

 

Sekitar dua tahun lalu, laporan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pernah menyatakan bahawa kadar kemiskinan yang melibatkan masyarakat Orang Asli adalah jauh lebih rendah, iaitu mencecah sehingga 70 peratus. Jika dikaji secara terperinci, tahap ekonomi Orang Asli masih berada dalam paras terendah berbanding dengan masyarakat lain yang ada di Malaysia.

 

Namun apakah penanda ukur yang menjadi faktor atas kekurangan mereka? Secara umumnya, kita tahu bahawa kehidupan masyarakat Orang Asli amat jauh berbeza jika dibandingkan dengan kelompok manusia yang menjalani rutin harian tetap. Ekonomi Orang Asli bergantung kepada hasil hutan setiap hari demi sesuap nasi. Kebergantungan mereka terhadap hasil hutan juga sekaligus tidak melibatkan wang ringgit untuk proses jual beli.

 

Sebenarnya, persepsi masyarakat umum terhadap Orang Asli perlu diubahsuai. Masyarakat Orang Asli kini semakin terdedah dengan arus pemodenan negara tanpa melupakan budaya dan adat resam yang dijaga dengan rapi.

 

Tahap pendidikan Orang Asli juga kian berkembang dan penambahan pelajar juga turut meningkat dari semasa ke semasa. Dahulunya, ibu bapa Orang Asli mungkin memandang pendidikan itu sebagai satu bebanan dan tidak berminat untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Walau bagaimanapun, pendidikan dalam kalangan Orang Asli juga telah diangkat bagi memartabatkan status sosial Orang Asli.

 

Menurut Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Malaysia mempunyai sebuaah pelan tindakan pendidikan yang bertujuan untuk memberikan pendidikan secara am dari peringkat pra sekolah, rendah, menengah, serta tertiari. Secara asasnya, ia merupakan sistem perancangan yang melibatkan Orang Asli untuk memperoleh pendidikan dengan lebih berkesan.

 

Tahun ini sahaja, kerajaan pernah mengumumkan bahawa sebanyak 98 buah sekolah di Semenanjung Malaysia kini menempatkan 37,934 pelajar Orang Asli (Astro Awani). Ia turut disusuli dengan prasarana dan infrastruktur lengkap yang menarik minat para pelajar dalam kalangan Orang Asli untuk terus menuntut ilmu.

 

Secara holistiknya, masyarakat Orang Asli bukanlah golongan terpinggir seperti yang digembar-gemburkan oleh masyarakat umum. Kehidupan mereka mungkin terikat dengan budaya dan adat resam lama namun peluang seharusnya diberikan tanpa mengganggu rutin mereka. Selaras dengan pembangunan arus maju, badan bukan kerajaan (NGO) juga berperanan dalam memperkasakan sosial status Orang Asli.

 

Menerusi Projek Pembangunan Komuniti, Islamic Relief Malaysia (IRM) selaku NGO antarabangsa juga mengambil inisiatif untuk sentiasa meningkatkan sosial status komuniti ini dengan melibatkan mereka dalam program-program seperti Qurban Perdana, Kelas Asas Kewangan dan Keusahawanan, Projek Cendawan.