TRUSTED SINCE 1984

Menyingkap sebuah kehidupan: Dialog bersama Nur Sabrina Ahmad Fauzi

Sabrina, atau nama penuhnya Nur Sabrina Ahmad Fauzi merupakan salah seorang penerima manfaat Islamic Relief Malaysia (IRM). Dia kini melanjutkan pengajiannya di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam bidang Diploma Rekabentuk Industri dan berada di tahun akhir pengajian. Ikuti kisah kehidupannya setelah menerima bantuan dari IRM.

 

“Pada awalnya saya merupakan penerima bantuan untuk program kelas tambahan pelajar SPM pada tahun 2015. Saya dan beberapa lagi rakan lain adalah kelompok pertama yang dipilih oleh IRM untuk mengikuti kursus ini. Saya amat bersyukur dengan bantuan yang disediakan kerana ia meliputi bantuan pelajaran memandangkan saya bukanlah pelajar yang cemerlang di sekolah.

 

“Guru-guru yang dipilih untuk menjadi tenaga pengajar juga adalah barisan guru yang terbaik, berkomitmen tinggi dan turut memberi sokongan padu untuk saya berjaya menerusi program tersebut. Topik yang diajar semua sama dengan apa yang saya belajar di sekolah. Jadi ia sangatlah membantu untuk saya lebih memahami ilmu yang dipelajari.

 

Katanya, sejak mengikuti kelas tambahan itu, pemikiran Sabrina berubah ke arah yang lebih positif kerana dia percaya setiap apa yang diberi adalah kurniaan yang sangat bernilai.

 

“Sejak berada dalam program ini, saya terus cuba berusaha dengan sepenuh hati dan pada semester lalu, saya berjaya dan merupakan salah seorang pelajar yang menerima Anugerah Dekan sekaligus dapat membanggakan ibu bapa saya juga.

 

“Pihak IRM sebenarnya banyak membantu dalam membentuk keyakinan diri saya dan segala bantuan yang diterima seperti bayaran yuran dan peralatan belajar dapat meringankan bebanan yang perlu ditanggung oleh keluarga. Apa yang nyata,setiap bentuk bantuan yang diberikan telah banyak mengajar saya erti syukur.”

 

Disoal mengenai cabaran yang dihadapi, jawapannya ringkas. Sabrina agak khuatir dengan keadaan ibu bapanya kerana keberadaannya yang tidak bersama mereka.

 

“Berada di universiti membuatkan saya lebih bersedia untuk menghadapi apa jua cabaran, ia termasuklah berjauhan dengan kedua-dua ibu bapa saya apatah lagi bapa saya masih belum pulih sepenuhnya daripada serangan strok. Bapa saya mengalami strok ketika saya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun ketika itu saya tidak tahu.

 

“Tambahan pula saya adalah anak tunggal jadi perasaan risau itu lebih membuak-buak. Jadi apa yang harus saya lakukan adalah mental dan fizial perlu bergerak seiring untuk melawan rasa dalam diri saya.”

 

Sama seperti anak muda yang lain, Sabrina juga mempunyai cita-cita yang tinggi untuk terus maju ke hadapan dan berbakti semula kepada masyarakat.

 

“Cita-cita saya adalah untuk menjadi seorang pereka grafik, dan kemudian saya ingin melanjutkan pelajaran sehingga peringkat kedoktoran untuk menjadi seorang pensyarah. Pada saya, dengan ilmu yang saya peroleh, saya ingin curahkan semula kepada anak bangsa agar saya dapat menyumbang kepada mereka.

 

“Menerusi bantuan daripada IRM inilah bermulanya hidup baru saya dan telah tanamkan tekad untuk terus berjaya dan tidak mensia-siakan peluang yang diberi. Saya mahu terus cekal dan terus berdaya saing.”