TRUSTED SINCE 1984

Galakan Dekati Golongan OKU

Serdang, 15 Nov 2018 – Masyarakat umum digalakkan untuk berusaha meningkatkan tahap kebersamaan dengan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) ke arah Malaysia yang lebih mesra.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia (IRM), Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata, masyarakat umum berperanan untuk meningkatkan tahap kebersamaan itu menerusi pembelajaran bahasa isyarat dan komunikasi dengan OKU.

 

“Mereka tidak memilih untuk dilahirkan sebagai OKU namun ia menjadi asbab dan peluang kepada kita untuk terus mengupayakan mereka melalui pembelajaran bahasa isyarat. Selain itu, perkongsian pengetahuan dan perniagaan juga adalah unsur untuk mendekatkan diri dengan mereka.

 

“Saya juga percaya dengan istilah pengupayaan dalam melahirkan OKU yang berjaya kerana mereka bukanlah tidak berupaya namun mempunyai kemahiran yang berbeza,” katanya ketika berucap.

 

Beliau berkata demikian dalam Program Inklusiviti Bersama Masyarakat, Kami Berbeza Kami Insan Luar Berbeza anjuran Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Putra Malaysia (UPM). Ia bertujuan untuk memberi peluang kepada golongan OKU untuk mengetengahkan bakat dan keupayaan untuk hidup secara normal.

 

Antara aktiviti yang dianjurkan adalah simulasi bahasa isyarat, simulasi penggunaan Braille, pameran hasil seni OKU iaitu lukisan dan kraftangan, dan sesi bual bicara bersama insan-insan luar biasa.

 

Zairulshahfuddin turut menegaskan sebagai institusi kemanusiaan, kita tidak sepatutnya berasa lelah dalam menyantuni golongan ini kerana ia adalah kerja-kerja mulia yang perlu diteruskan dalam menyedarkan masyarakat umum bahawa kehadiran mereka sebenarnya masih dipeduli.

 

Mengulas lanjut, IRM bercadang untuk meneruskan kerjasama dengan UPM dalam usaha mengupayakan golongan kurang bernasib baik.