TRUSTED SINCE 1984

Tenaga Anak Muda dalam Aktiviti Kemanusiaan

Peredaran zaman membawa kepada perubahan seiring dengan kemajuan teknologi dan kepesatan sesebuah negara. Ia secara tidak langsung melahirkan golongan anak muda yang mampu berfikiran secara kritis dan kreatif dalam memacu dunia ke arah pembangunan modal insan selaras dengan misi negara dalam membentuk golongan belia yang berkebolehan.

 

Tidak dinafikan, insititusi pendidikan kini berjaya melahirkan golongan profesional dan pakar dalam pelbagai bidang demi pembangunan negara. Namun dalam keghairahan kita mempromosikan bidang-bidang yang menjadi ukuran kepada kebolehpasaran seseorang untuk mencipta kerjaya, acapkali kita terlupa bahawa lepasan universiti hari ini kekurangan nilai estetika yang membentuk jati diri mereka, iaitu nilai kemanusiaan.

 

Dr. Aizan Sofia Amin, Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia (IRM), sempat berkongsi pengalamannya dalam aktiviti kemanusiaan yang pernah diceburi seawal usia 20-an. Bersuarakan bagi pihak golongan muda, Dr. Aizan, seorang bekas dan pejuang kanser juga merupakan seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) akibat kanser tulang yang menyebabkan kaki kanannya terpaksa dipotong.

 

Biarpun keadaan fizikalnya adalah cabaran besar, keazamannya tidak pernah goyah untuk terus menceburi aktiviti-aktiviti kemanusiaan kerana beliau mempunyai kesungguhan untuk berbakti kepada masyarakat. Dalam erti kata lain, beliau mahu orang awam melihat golongan OKU juga mampu untuk menyumbang kepada negara.

 

Menurut Dr. Aizan, kerja-kerja kemanusiaan adalah sesuatu yang kita lakukan demi kebaikan manusia lain tanpa mengharapkan apa jua balasan. Dalam konsep psikologi, ia dipanggil altruisme, yang menekankan kebajikan yang dilakukan dengan ikhlas terhadap kebahagiaan manusia lain. Ia sekaligus memberi ketenangan kepada jiwa si pelaku.

 

“Pada saya, kerja kemanusiaan ini sebenarnya adalah kebaikan yang kita lakukan kepada masyarakat sekeliling demi kebahagiaan mereka tanpa mengharapkan sesuatu daripada mereka. Ia dikenali sebagai altruisme jika dikorelasikan dalam konteks psikologi. Konsep itu tidak hanya terbatas kepada manusia, malah melibatkan segala kehidupan yang ada di muka bumi seperti haiwan,” katanya ketika ditemubual.

 

Disoal mengenai aktiviti-aktiviti kemanusiaan yang pernah diceburi, Dr. Aizan menjelaskan bahawa beliau sudahpun terlibat sebagai sukarelawan sejak zaman universiti dalam sebuah persatuan kecil. Namun merasakan pengalaman itu tidak cukup, beliau cuba mencari inisiatif lain untuk memenuhi masanya dengan aktiviti-aktiviti kemanusiaan.

 

“Saya terlibat dalam aktiviti kemanusiaan sejak universiti. Namun ia sangat terhad. Kemudian apabila saya tamat pengajian dan dalam proses untuk menyambung Ijazah Sarjana, saya mengambil keputusan untuk menjadi sukarelawan di Majlis Kanser Nasional (MAKNA) bersama ibu saya kerana kami mempunyai niat yang sama.”

 

Di MAKNA, pengalaman Dr Aizan bukanlah semata-mata sebagai sukarelawan, malah beliau diberi peluang untuk mengasah bakatnya dalam menjadi seorang penceramah.

 

“Keberadaan saya di MAKNA sebenarnya amat bermakna kerana saya tidak hanya terlibat dalam aktiviti sukarelawan, malah saya dilatih untuk menjadi ‘speaker’ kepada mereka memandangkan saya merupakan bekas pesakit kanser.

 

“Dengan kerja-kerja kemanusiaan seperti itu, saya rasa amat gembira kerana dapat menyumbang kepada masyarakat. Walaupun saya ada kekurangan, saya tetap ingin menyumbang kepada orang lain. Jadi dengan melakukan kerja-kerja ini saya percaya sebenarnya saya berupaya untuk berbakti dengan tenaga dan masa yang saya korbankan,” tegasnya biarpun mempunyai kekurangan fizikal.

 

Jiwa kemanusiaan sudah sebati dalam diri Dr. Aizan. Ketika beliau melanjutkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) di Glasgow, Scotland, peluang itu tidak disia-siakan malah dikembangkan kerana niat murni yang sentiasa utuh dalam diri demi membantu manusia lain.

 

“Di sana saya pernah mencabar diri sendiri dengan mengambil langkah drastik bersama sekumpulan pelajar Malaysia lain, iaitu menyahut cabaran untuk mengumpul dana sebanyak 2,000 Pound Sterling untuk program kemanusiaan.”

 

Sekembalinya beliau ke tanah air, Dr. Aizan meluaskan empayarnya bersama IRM dengan menghubungkan pelajar-pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia untuk menjalani latihan industri. Selain itu, beliau turut menawarkan diri untuk membuka slot kursus dan tatacara bersama penerima manfaat untuk kakitangan di IRM sehinggalah beliau dilantik sebagai Ikon Kemanusiaan IRM tahun ini. Tugas dan pengalaman sebagai Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM digunakan sebaik mungkin untuk berkhidmat kepada masyarakat.

 

Disoal mengenai pelibatan golongan muda atau mahasiswa dalam aktiviti kemanusiaan, Dr. Aizan menegaskan bahawa setiap pelajar wajar menceburkan diri dalam aktiviti kemanusiaan kerana ia membentuk jati diri seseorang di samping menggilap kemahiran berkomunikasi dan keyakinan untuk berhadapan di khalayak ramai.

 

“Saya juga percaya bahawa mahasiswa kita berkemampuan dan mempunyai potensi yang tinggi. Namun apa yang kita dapati sekarang, mereka tidak diberi peluang atau kepercayaan untuk melakukan aktiviti kemanusiaan. Mahasiswa juga tidak dilatih untuk menjadi pemimpin pada masa akan datang. Jadi apa yang diperlukan, kita perlu perkasakan kepimpinan dalam kalangan belia supaya pada masa akan datang mahasiswa akan menjadi pelapis kepada pemimpin hari ini.”

 

“Dari sudut akademik, mahasiswa turut didedahkan subjek atau kursus-kursus tertentu yang melibatkan aktiviti kesukarelawanan dengan harapan mereka akan terus berbakti dan mempunyai nilai tanggungjawab dalam diri.”

 

Tambahan pula, selain daripada membentuk jati diri dan menggilap keyakinan diri, mahasiswa yang sering terlibat dalam aktiviti kemanusiaan dapat meningkatkan kebolehpasaran mereka sebelum memasuki alam pekerjaan kerana ia dilihat sebagai satu nilai tambah selain pencapaian akademik yang diperoleh ketika pengajian.

 

“Salah satu sebab mengapa aktiviti kemanusiaan ini dilihat begitu relevan dan bernilai adalah ia boleh dijadikan sebagai nilai tambahan kepada graduan yang bakal memulakan hidup baru di alam pekerjaan selain mendapatkan rujukan daripada pensyarah sendiri.”

 

Menasihati bakal graduan yang bakal meninggalkan zaman pengajian, Dr. Aizan berpendapat bahawa mereka perlu diasah dengan aktiviti-aktiviti kemanusiaan sebanyak yang mungkin dan usaha itu perlu dilakukan dari bawah kerana tiada jalan mudah untuk berjaya. Seperti kehidupan, manusia perlu berusaha untuk meraih sesuatu yang mereka impikan.