TRUSTED SINCE 1984

IRM Perkasa Program Sukarelawan

Subang, 14 Jul – Seramai 13 orang sukarelawan Islamic Relief Malaysia (IRM) berpeluang untuk melakukan kerja di lapangan bersama-sama warga IRM menerusi program Crafting Love and Care di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang.

 

Program yang dikelola oleh IRM itu memberi pendedahan kepada setiap sukarelawan yang berminat untuk mempelajari proses penilaian dalam menyantuni setiap penerima manfaat.

 

Ia secara tidak langsung meningkatkan lagi tahap kemahiran berkomunikasi dengan penerima manfaat sekaligus memberi gambaran sebenar kesusahan yang dihadapi oleh sesetengah penduduk di kawasan metropolitan.

 

Salah seorang sukarelawan yang dikenali sebagai Shazlin menyifatkan program ini sebagai satu langkah menarik untuk setiap masyarakat sedar betapa pentingnya erti kesyukuran dalam kehidupan.

 

“Walau susah mana kita sekalipun, pasti akan ada masyarakat yang lebih susah hidupnya daripada kita. Oleh itu, perlulah kita bersyukur dengan nikmat yang Allah SWT beri kepada kita,” katanya.

 

Program ini akan melalui beberapa fasa iaitu fasa pertama, kedua, dan ketiga. Setiap fasa berperanan untuk memudahkan pelaksanaan program seperti fasa pertama yang menekankan konsep penilaian kriteria penerima manfaat, fasa kedua pula melibatkan penyediaan barang yang bakal diagihkan, dan fasa ketiga merupakan agihan bantuan kepada penerima manfaat.