TRUSTED SINCE 1984

Komited Santuni Penerima Manfaat

Subang Jaya, 7 Jun 2018 – Seramai 89 orang penerima manfaat disantuni melalui projek ‘Ceria di Aidilfitri’ yang dikendalikan oleh Islamic Relief Malaysia (IRM) dengan kerjasama Bank Small-Medium Enterprise (SME) di Mydin Mall USJ.

 

Projek Ceria di Aidilfitri ini merupakan sebuah projek khas untuk penerima manfaat bagi mendapatkan sumbangan berbentuk set pakaian lengkap yang baharu untuk meraikan kedatangan hari raya Aidilfitri.

 

Selain memberi peluang penerima manfaat untuk merasai kemeriahan Aidilfitri, projek ini turut membuka ruang kepada pihak Bank SME untuk mencari platform lain dalam bersedekah dan menunaikan tanggungjawab sosial dalam bulan Ramadan.

 

Secara tidak langsung projek ini menjadi pintu rahmat dalam berkongsi rezeki bersama-sama penerima manfaat menjelang Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Salah seorang penerima manfaat, Salizawati Salihudin, dia bersyukur dengan bantuan yang diberikan memandangkan ia sekaligus dapat mengurangkan sedikit beban persiapan hari raya.

 

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur kepada Islamic Relief Malaysia dan Bank SME kerana memberi peluang ini dan mengurangkan kos perbelanjaan saya untuk hari raya nanti,” katanya ketika ditemui.

 

Dalam pada itu, Juliana Ginting yang merupakan ibu kepada empat orang anak turut menghargai bantuan oleh pihak IRM dan Bank SME kerana dia dapat meraikan Aidilfitri dengan penuh rasa gembira.

 

“Saya sangat bersyukur dan gembira dengan keprihatinan IRM dan Bank SME. Anak-anak saya juga berpeluang untuk mendapat pakaian baru jadi saya ingin ucapkan terima kasih kepada yang membantu saya,” katanya.

 

Untuk maklumat, penerima manfaat yang disantuni dalam projek ini masing-masing dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang dan PPR Kota Damansara.