TRUSTED SINCE 1984

Hari Kebuluran Sedunia

Kehidupan seorang manusia akan lengkap dengan kitaran makanan yang sihat. Ketika perut berasa lapar, sudah tentu kita akan mencari sesuatu makanan bagi menghilangkan rasa lapar. Sungguhpun demikian, pernahkah kita terfikir bahawa begitu ramai kelompok manusia yang sedang berhempas pulas untuk mencari sesuap nasi untuk diri sendiri dan keluarganya agar mereka tidak terus hidup dalam kebuluran? Laporan oleh Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu Bahagian Makanan dan Pertanian menunjukkan statistik kes kebuluran sejak dua tahun lalu telah meningkat kepada 815 juta, dengan nisbah satu daripada sembilan manusia tidur dalam kelaparan.

 

Sebanyak 10.7% daripada angka tersebut pula mengalami masalah kekurangan makanan. Bagaimanapun, majoriti manusia yang mengalami kelaparan banyak berlaku di negara sedang membangun. Jika diteliti melalui figura nombor, kes-kes kebuluran di negara sedang membangun dilaporkan sekitar 779.9 juta di mana benua Asia menyumbang jumlah yang paling tinggi iaitu 511.7 juta kes. Manakala, Oceania mempunyai rekod terendah bagi kes kebuluran dengan hanya 1.4 juta kes. Namun, adakah rata-rata mereka daripada semua jumlah ini memilih untuk hidup dalam kebuluran?

 

Kebuluran yang berlaku di seluruh dunia adalah saling berkait dengan faktornya. Antara penyumbang utama kepada kebuluran adalah perubahan cuaca dan iklim. Bencana alam seperti banjir, ribut taufan, dan kemarau panjang kini amat sinonim dengan punca kebuluran hanya disebabkan struktur cuaca yang tidak normal. Tidak dinafikan, kemarau juga merupakan faktor utama kepada kekurangan makanan di seluruh dunia. Pada tahun 2011, taburan hujan rendah telah mengakibatkan kemerosotan hasil pertanian di Ethiopia, Kenya, dan Somalia.

 

Apatah lagi lanjutan peperangan dan konflik turut memusnahkan tanaman dan pembuatan makanan. Peperangan juga adalah punca jutaan manusia terpaksa meninggalkan tempat tinggal mereka sehingga meningkatkan kes bantuan kecemasan makanan memandangkan mereka yang berpindah tidak mempunyai bekalan makanan. Konflik di Syria adalah contoh yang terbaik untuk dihayati. Selain itu, perang saudara di Sudan Selatan turut mengakibatkan perpindahan secara besar-besaran dan kawasan pertanian pula diabaikan. Kesannya, hasil tanaman berkurangan secara drastik diikuti pula dengan kadar inflasi yang tinggi memandangkan makanan import tidak lagi diteruskan. Secara keseluruhan, 3.5 juta manusia hidup dalam kebuluran.

 

Dalam pada itu, kebuluran dan kemiskinan juga mempunyai hubungan yang rapat. Bagi manusia yang hidup dalam kemiskinan, mereka tidak berkemampuan untuk mendapatkan sumber makanan untuk dirinya dan keluarga. Keadaan ini akan menyebabkan tubuh badan kian lemah, serta memberi kesan terhadap mental dan fizikal yang menghalang mereka daripada bekerja untuk keluar dari kancah kebuluran dan kemiskinan. Dalam hal ini, kanak-kanak adalah golongan yang paling terjejas kerana mereka akan membesar tanpa kandungan nutrisi yang cukup.

 

Dalam pada itu, salah satu kajian turut dijalankan yang menjangkakan kekurangan nutrisi secara agregat – pembesaran janin yang tidak normal, pendarahan, kekurangan Vitamin A dan zink di samping penyusuan susu suboptimal – merupakan faktor kematian 3.1 juta kanak-kanak setiap tahun iaitu sama dengan 45% rekod kematian dicatatkan pada tahun 2011. Selain itu, kekurangan nutrisi juga berpunca daripada beberapa penyakit lain yang akan merosotkan keupayaan tubuh badan untuk menukarkan makanan kepada nutrien penting.