TRUSTED SINCE 1984

Kalau Bukan Kita Siapa?

Kerana ilmu, aku bangkit. Pendidikan dilihat sebagai salah satu aspek yang begitu penting dalam kehidupan untuk memacu generasi muda berfikiran kritis dan global. Melalui ilmu, perwatakan anak muda dapat dibentuk dengan sebaiknya mengikut acuan seorang insan yang bergelar guru. Pepatah melayu pernah menekankan, melentur buluh biarlah dari rebungya. Selain ibu bapa sebagai tunjang ilmu kepada anak-anak, guru juga menggalas tanggungjawab dalam mendidik anak bangsa ke lembah kejayaan.

 

Namun pada hari ini, pendidikan bukanlah sesuatu yang mampu dirasai bersama malah dilihat sebagai bebanan kepada sesetengah masyarakat. Wan Shakila Adila Wan Azmi, seorang guru yang bertugas di Rohingya Intellectual Skills & Excellence (RISE) sempat berkongsi pengalamannya sepanjang tugas beliau di sekolah alternatif itu.

 

Pada awalnya, beliau mengambil masa selama empat bulan untuk membentuk akhlak anak-anak Rohingya yang tidak cakna mengenai nilai-nilai murni yang harus diterapkan dalam kehidupan seharian. Atas dasar kemanusiaan dan ingin membantu, Wan Shakila yakin masa depan anak-anak Rohingya ini akan menjadi lebih cerah dengan didikan dan tunjuk ajar yang baik. “Saya percaya masa depan pelajar RISE akan terjamin melalui bimbingan yang diterapkan kepada anak-anak Rohingya ini,” jelasnya mudah.

 

Baginya, hak pendidikan itu tidak seharusnya dipersoalkan dan ia perlu diberi sama rata termasuklah golongan yang kurang bernasib baik. Beliau juga menegaskan anak-anak Rohingya ini sudah begitu lama tidak didedahkan kepada pendidikan. “Pentingnya pendidikan untuk anak-anak Rohingya demi masa depan mereka kerana sudah tiga generasi mereka terbiar,” katanya ketika ditemuramah. Selain itu, Wan Shakila turut berpendapat bahawa pendidikan dapat menyumbang kepada pembangunan ketamadunan sesebuah bangsa melalui penekanan nilai-nilai murni dan perkembangan ilmu.

 

Jika di Malaysia, pelajar-pelajar akan dibekalkan dengan ilmu kemahiran sebagai persiapan untuk mencari keupayaan masing-masing. Namun bagi pelajar Rohingya di RISE, pendidikan akan menyedarkan mereka mengenai sejarah generasi dan bangsa mereka di negara asal. Pendidikan seperti ini akan membuka mata mereka untuk menyedari situasi sebenar dan latar belakang mereka. Dalam pada itu, ilmu jugalah yang menjadi punca perbezaan antara mereka dan anak-anak Rohingya yang lain.

 

Mendidik setiap anak murid pasti ada cabaran. Sebagai seorang guru di sekolah alternatif, Wan Shakila tidak hanya mengajar anak-anak Rohingya di RISE malah beliau bersama-sama guru yang lain juga menguruskan RISE setiap hari untuk memastikan operasi harian RISE berjalan dengan lancar. Apa yang mencabar baginya adalah tugas untuk membentuk akhlak anak-anak Rohingya melalui penerapan nilai-nilai murni. “Saya juga bertanggungjawab untuk menjaga tingkah laku mereka. Untuk membentuk akhlak bukanlah sesuatu yang mudah kerana mereka tidak sama seperti anak-anak di Malaysia yang sudah dididik dengan baik,” tambahnya.

 

Disoal mengenai keistimewaan yang ada pada anak-anak Rohingya ini, Wan Shakila menjelaskan mereka sebenarnya mempunyai disiplin dan pembawaan diri yang begitu baik. “Walaupun kami mengambil masa empat bulan untuk mendisiplinkan mereka, akhlak mereka kini mudah dibentuk dan pengamalan nilai-nilai murni semakin dipraktikkan. Mereka juga sangat gemar belajar dan sering meminta ‘homework’ untuk dibawa pulang dan dikongsi bersama ibu bapa,” jelasnya panjang. Untuk membentuk sifat mereka, beliau melakukan aktiviti bersama-sama agar ia dapat dilihat secara jelas. Beliau turut berpendapat bahawa jika kita ingin mendidik generasi muda, kita perlu ‘lead by example’.

 

Sebagai pendidik, beliau berharap agar peluang anak-anak yang kurang bernasib baik untuk mendapatkan ilmu perlu dibela. Jika pendidikan itu penting, masyarakat tidak seharusnya mempertikaikan sesetengah golongan kerana pendidikan itu untuk semua tanpa mengenal warna kulit. Kalau bukan kita mendidik, siapa?