TRUSTED SINCE 1984

Dunia Tanpa Penderitaan

Dunia tanpa penderitaan

Kesihatan merupakan satu nikmat dan aset kemanusiaan yang seharusnya disyukuri oleh setiap manusia. Kita menghirup udara yang sama, kita juga mampu menikmati sepinggan nasi lemak sebagai permulaan hari, dan yang pasti, kita masih mampu berjalan dengan sempura. Ini kerana nikmat kesihatan adalah tunjang utama kepada rutin harian kita.

Namun jauh di sudut lain, separuh dari kelompok manusia sebenarnya menghadapi kekangan akses kemudahan kesihatan dan menurut World Health Organization (WHO) seramai 100 juta dilaporkan miskin dan tidak berkemampuan untuk mendapatkan kemudahankesihatan.

Tahun ini mencatatkan 70 tahun Hari Kesihatan Sedunia sejak perasmiannya pada 7 April 1948 dan kali ini, Hari Kesihatan Sedunia akan memberi fokus kepada “Perlindungan Kesihatan Sejagat: Untuk semua tidak mengira sempadan” bagi memastikan setiap manusia mampu mendapatkan kemudahan kesihatan yang berkualiti tinggi.

Islamic Relief (IR) sebagai salah sebuah badan kemanusiaan yang diiktirafkan merupakan organisasi yang begitu komited dalam mendekati masyarakat dan mengurangkan jurang kemiskinan, termasuklah memberi bantuan dalam sektor kesihatan.

Tahun lalu, IR Syria telah melaksanakan beberapa projek kesihatan dalam usaha membantu hospital serta pusat kesihatan dan ia berjaya memberi manfaat kepada sejumlah 1.3 juta rakyat Syria. Di seluruh kawasan utara Syria, IR telah membantu infrastruktur kesihatan dengan membangunkan sebanyak empat unit kesihatan bergerak di Aleppo dan Idlib. Ia sekaligus menyediakan 60 pusat kesihatan berserta ubat-ubatan. Selain itu, IR Syria turut membantu 13 buah pusat dialisis berserta kemudahan kotak perubatan di tujuh pusat penyimpanan darah.

IR juga melatih seramai 152 pekerja sektor kesihatan dan unit pengurusan bagi memastikan kualiti kesihatan disalurkan dengan sempurna. Secara keseluruhan, projek itu telah membantu sekitar 240,000 penerima manfaat.

Dalam pada itu, IR Syria di bahagian utara turut memberi bantuan kecemasan kepada 50 buah hospital, tujuh pusat fisioterapi, dan tiga pusat talasemia dengan menyediakan keperluan ubat. Projek itu meliputi bantuan latihan kesihatan reproduktif untuk para doktor dan pengamal kesihatan yang bekerja di kawasan Syria. Secara keseluruhan, program itu membantu lebih 324,000 penerima manfaat.

Sementara itu di Yaman, seramai 16.4 juta penduduk terdesak untuk mendapatkan rawatan kesihatan. Oleh itu, IR telah bertungkus lumus untuk membantu menangani wabak taun yang berleluasa pada waktu itu. Usaha tersebut lebih menjurus kepada beberapa kes yang dikenalpasti di beberapa pusat kesihatan agar penyakit itu tidak terus merebak.

Tahun lalu, IR telah menghantar 19 tan ubat-ubatan ke Yaman, ketika negara itu terancam dengan wabak taun. Oleh kerana itu, Yaman diisytihar sebagai negara yang menghadapi krisis kemanusiaan terbesar di dunia, dengan wabak taun yang dikenalpasti sebanyak 900,000 kes dengan lebih 2,000 maut.

IR Malaysia (IRM) selaku organisasi kemanusiaan di rantau Asia Tenggara turut mengambil peluang itu dalam mengurangkan krisis kemanusiaan di Syria. Atas faktor sistem kesihatan yang kian merosot di negara bergolak itu, populasi dan penduduk setempat terdedah dengan pelbagai penyakit kronik. Ia menyebabkan lebih daripada 4,000 penduduk terkesan dan memerlukan rawatan hemodialisis setiap minggu.

Projek Dialysis Centre Support yang dilaksanakan di Syria sedikit sebanyak dapat melegakan keperihan yang dialami oleh penerima manfaat memandangkan mereka berdepan dengan kekangan bantuan kecemasan sejak awal krisis kemanusiaan lebih-lebih lagi dengan serangan tanpa henti di negara itu.

IRM telah memberi bantuan kepada pusat hemodialysis dengan menyalurkan pelbagai agihan bantuan termasuklah ubat-ubatan, dan barangan asas klinikal agar pusat kesihatan dapat menjalankan sesi rawatan. Bagi projek ini, seramai 4,320 penerima manfaat telah mendapat kemudahan kesihatan secara percuma.

Bagi menyahut Hari Kesihatan Sedunia 2018, Islamic Relief akan terus bergerak aktif dalam menyalurkan bantuan kesihatan di seluruh dunia agar krisis kemanusiaan dari segi kesihatan dapat diminimakan.