TRUSTED SINCE 1984

Keadaan di Gaza kian mendesak

Tekanan politik yang berlaku di Gaza memberi impak yang sangat negatif terhadap pembangunan ekonomi dan sekaligus meningkatkan kadar kemiskinan di wilayah itu. Secara dasarnya, konflik di Gaza merupakan pertelingkahan antara Palestin dan Israel  yang bertelagah atas tuntutan tanah yang sama beberapa dekad lalu.

Hari ini, isu yang sama masih tidak nampak penyelesaian. Tahun lalu merupakan waktu paling sukar yang dihadapi oleh penduduk Gaza dalam sejarah. Bantuan kemanusiaan yang menjadi tunjang utama kepada 80% penduduk di daerah itu berkurangan secara mendadak; 10 tahun sekatan dan tiga serangan ketenteraan telah menunjukkan impak buruknya.

Kesulitan di Gaza kian mendesak saban hari. Terdapat laporan mendedahkan kanak-kanak terpaksa berhenti sekolah dan mula mengemis demi mendapatkan perbelanjaan untuk menampung kelangsungan hidup keluarga. Ramai yang hidup di dalam khemah dan di tepi jalan kerana tidak berkemampuan untuk membayar sewa.

Statistik dari bahagian Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu  melaporkan kadar penurunan kemasukan lori yang membawa muatan keperluan sebanyak 27% manakala bantuan kemanusiaan pula mencatatkan penurunan mendadak sehingga 63%.

Bagi tahun 2018 pula, terdapat kekurangan bantuan dari Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNRWA) dan Dana Penduduk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFP). Keadaan ini akan mengeruhkan lagi konflik antara dua parti politik utama di Gaza terhadap pemerintahan di daerah itu.

Dalam laman web Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bahagian pembangunan mapan, telah dinyatakan “ Pada 25 September 2015, kebanyakan negara menetapkan matlamat dalam membasmi kemiskinan, melindungi planet, dan memastikan kemakmuran sebagai satu daripada agenda pembangunan lestari baru.” Ketika komuniti antarabangsa sedang bekerjasama untuk menjayakan “tiada kemiskinan” dan “tiada kebuluran” menjelang 2030, Gaza pada masa ini masih terpaksa mengharungi kadar kemiskinan yang tinggi.

Golongan miskin terus miskin dan banyak perniagaan bakal bankrap. Dalam pada itu, pekerja dari sektor swasta kehilangan kerja dan kini disenaraikan dalam kes sosial di bawah Kementerian Hubungan Sosial akibat kekurangan dana. Keadaan ini melumpuhkan lagi penduduk Gaza dan mengakibatkan kemurungan, ketagihan, agresif, dan serangan jantung pada usia muda.

Dalam pada masyarakat antarabangsa menuju ke arah dunia tanpa kemiskinan dan kebuluran menjelang 2030, situasi berlawanan berlaku di Gaza. Bagaimanapun, perubahan di wilayah ini dapat dilakukan dan digerakkan oleh kedua-dua komuniti tempatan dan antarabangsa.