ROMPIN, 13 Sept. 2016 – Masyarakat Orang Asli dari Kampung Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kedaik diraikan dalam satu Program Qurban Perdana anjuran Islamic Relief Malaysia (IRM).
IRM menyembelih tiga ekor lembu tajaan Yayasan Sime Darby (YSD) di dalam program ini manakala tiga ekor lembu lagi dikorbankan di Rumah Anak Yatim Miskin Yayasan Annur Maisarah, Chemor Perak pada hari raya pertama.
Seramai 200 para penerima manfaat dari golongan asnaf miskin dan fakir termasuk anak yatim, warga emas, pesakit kronik, OKU, ibu tunggal dan lain-lain mendapat bantuan pek makanan berserta daging sembelihan.
Selain daripada aktiviti penyembelihan, turut berlangsung dalam program itu ialah takbir raya dan tazkirah ringkas oleh Ustaz Asyraf, sesi psikososial bersama anak-anak masyarakat Orang Asli selain daripada melapah, memotong dan menimbang daging korban.
Untuk Kempen Qurbani Merentasi Sempadan 2016, IRM telah membantu para penerima manfaat di 28 negara termasuk Palestin, Syria dan Malaysia.