TRUSTED SINCE 1984

Kutip Pengalaman Berharga di Palu

HIBA. Itulah ungkapan ringkas untuk menggambarkan situasi di Indonesia yang dihimpit dengan pelbagai bencana alam tahun lalu. Kehadiran gempa bumi dan tsunami sungguh meragut ribuan nyawa sehingga ada yang hidupnya kini kosong dan terpaksa menempuh liku-liku yang mendatang. Jauh di sudut pandangan, rakyatnya terhidu rasa hiba akibat kesan bencana yang dialami.

 

Namun, kehibaan itu tidak selamanya diruntun kerana masih ada yang peduli akan kemalangan yang berlaku. Atas dasar kemanusiaan, seorang kakitangan Islamic Relief Malaysia (IRM), Faazurah Kadir ditugaskan untuk menjalani misi kemanusiaan pasca-bencana di Palu, Sulawesi selama dua minggu Disember lalu. Ikuti ceritanya sepanjang pengalamannya di kepulauan Sulawesi itu.

 

“Di Palu, saya ibarat penyimpan memori, iaitu sebagai jurugambar dan juga pengumpul data. Dengar sahaja mungkin ia nampak mudah, namun tidak seperti yang disangka memandangkan cara kerja di Indonesia amat berbeza,” kata Faazurah tegas menerangkan tugasnya di sana.

 

Menyedari bahawa tugas sebagai seorang jurukamera yang sememangnya bukan mudah, Faazurah bagaimanapun selesa dengan tugas yang diamanahkan kerana percaya ia adalah tanggungjawab yang digalas dalam dunia kemanusiaan. Secara harfiahnya, tugas dalam bidang kemanusiaan meliputi pelbagai gerak kerja yang memerlukan persiapan rapi oleh setiap tenaga kerjanya.

 

Mengharungi misi kemanusiaan ibarat meletakkan nyawa di hujung tanduk. Jika terlepas maka syahidlah hidupnya atas dasar kemanusiaan. Situasi ini dilihat sebagai satu agenda yang perlu dititikberat sepenuhnya. Bagi Faazurah, kekuatan mental yang gagah perlu digilap supaya pengisian aktiviti semasa misi kemanusiaan dapat bergerak dengan lancar.

 

“Bagi saya, persediaan mental dan fizikal perlu bergerak seiring. Ia mungkin nampak remeh pada awalnya namun saya percaya dengan kekuatan doa supaya kita berasa lebih selamat dan dilindungi. Secara jujurnya, saya juga risau memandangkan ini adalah misi kemanusiaan yang agak mencabar minda, lebih-lebih di kawasan yang terdedah dengan bencana alam. Jadi pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

 

“Dari segi fizikal, saya perlukan barangan kecemasan seperti lampu suluh seandainya sumber elektrik terputus, bekalan air kerana saya diberitahu bahawa sumber air bersih begitu sukar untuk diperoleh, barangan makanan yang memberi tenaga, dan juga bekalan ubat sekiranya diserang penyakit. Apa yang penting, persediaan itu wajib lengkap dan sempurna,” jelas Faazurah mengenai persediaan yang perlu diambil kira apabila ditugaskan untuk menjalani misi kemanusiaan.

 

Disoal mengenai cabaran yang dihadapi di Palu, Faazurah berpendapat bahawa berkomunikasi dengan komuniti tempatan merupakan suatu perkara yang agak sukar. Meskipun penggunaan bahasa seakan-akan sama, keupayaan untuk memperoleh kefahaman antara dua pihak tidak mudah seperti yang disangka. Apatah lagi, kehadiran orang luar juga mungkin tidak diterima oleh komuniti tempatan.

 

“Jika kita anggap bahawa bahasa Melayu dan Indonesia itu boleh menghubungkan dua komuniti, maka tanggapan itu sebenarnya kurang tepat. Di Palu, cabaran yang saya hadapi adalah ketika berkomunikasi dengan komuniti tempatan. Bahasa kita mungkin sama, namun ia bukanlah alat pemudah. Saya masih lagi perlukan kakitangan daripada Islamic Relief (IR) Indonesia untuk berkomunikasi dengan mereka.

 

“Selain itu, kehadiran orang luar juga merupakan sesuatu yang aneh bagi mereka kerana tidak semua boleh menerima. Jadi saya terpaksa bertutur dengan mereka dalam nada dan intonasi bahasa yang seakan-akan bahasa Indonesia agar lebih dipercayai dan diterima,” Ujar Faazurah ringkas mengenai cabaran yang dihadapi.

 

Waktu-waktu yang terluang di suatu tempat asing boleh dibukukan sebagai memori, baik yang manis mahupun yang pahit. Di Palu, Faazurah jelas terpesona dengan keindahan suasananya yang dikelilingi oleh ciptaan tuhan. Tambahan pula, beliau juga turut berkesempatan untuk menghadiri majlis perkahwinan penduduk di Palu dan menyaksikan kelainan budaya di kawasan itu.

 

Bagaimanapun, tidak semua kenangan itu manis untuk diingati. Di Malaysia, gempa bumi mungkin banyak dilaporkan berlaku di Sabah. Namun Faazurah sendiri merasai pengalaman tersebut secara langsung ketika menghadiri majlis perkahwinan di Kem Balaroa.

 

“Pengalaman gempa bumi itu saya sudah rasa sendiri di bumi Palu ketika berada di majlis perkahwinan. Ketika itu, saya dan dua lagi rakan sekerja sebenarnya sedang bersalaman dan ingin bergambar bersama pengantin. Namun apabila kami sedang bersalaman dengan pengantin, gegaran kuat tiba-tiba berlaku sehingga kaki saya menggeletar ketakutan.

 

“Apa yang pelik, saya tidak menangis. Waktu itu saya terkejut dan terkesima dengan apa yang berlaku dan tidak mampu mengeluarkan sebarang perkataan. Ketika itu, apa yang saya perhatikan adalah semua orang berada dalam keadaan cemas dan cuba melarikan diri tanpa memikirkan ahli keluarga mereka. Saya juga yakin pada waktu-waktu cemas seperti itu, mereka hanya mahu berlindung dan selamatkan nyawa sendiri.”

 

Menerusi misi kemanusiaan di Palu, Faazurah mula sedar akan segala nikmat yang dirasai sehingga hari ini. Misi itu sekaligus memberi peringatan kepada dirinya agar lebih bersedia untuk berhadapan dengan apa jua ujian yang bakal menjelma demi mendidik jiwa yang kental. Oleh itu, persediaan hendaklah dipersiapkan dengan rapi. Bagi Faazurah, di negara sendiri, apa yang perlu dihargai limpahan nikmat kepada kita. Manakala di negara luar, pengalaman itulah akan mematangkan jati diri seseorang.