TRUSTED SINCE 1984

Kem Bestari YPM-IRM Tingkat Kefahaman Pelajar

Hulu Langat, 17 Ogos 2019 – 60 pelajar dari pelbagai latar belakang mendapat manfaat daripada program Kem Motivasi Bestari yang dianjurkan oleh Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dengan kerjasama Islamic Relief Malaysia (IRM).

Program selama tiga hari itu bertujuan untuk meningkatkan motivasi dan pengetahuan pelajar berkaitan teknik-teknik menjawab soalan, perkongsian maklumat dan pengalaman pembelajaran dengan menggunakan kemahiran yang diberi, memberi pendedahan berkaitan cara-cara membuat pembahagian masa dalam menjawab soalan serta pendedahan skema menjawab soalan.

Pengurus Bahagian Program Domestik IRM, Noor Halimahton Sa’adiah Talib dalam ucapannya berkata, “Islamic Relief Malaysia berterima kasih kepada Yayasan Pelajaran MARA atas kerjasama dalam menjayakan kem ini. Ini bukan kali pertama IRM bekerjasama dengan YPM dalam sektor Pendidikan. Diharap kerjasama ini akan berterusan untuk masa akan datang. Untuk pelajar-pelajar, saya doakan kejayaan anda.”

Sementara itu, Mohamad Isa Chik, Pengurus Seksyen Kesukarelawan dan Kepimpinan YPM berkata, “Terima kasih kepada Islamic Relief Malaysia yang berusaha membawa adik-adik pelajar ke kem ini sehingga kita dapat bertemu. Bila Allah letak kita dalam sesuatu jalan yang baik, bermakna kita dipilih oleh Allah untuk menjadi orang terbaik. Bila Allah dah pilih kita, jadilah kita orang yang terbaik, bukan orang yang gagal.”

Para peserta kem tersebut terdiri daripada pelajar-pelajar UPSR, PT3 dan SPM 2019 dari SK Jalan 4, SK Kajang Utama, SK Seksyen 7, SMK Kajang Utama dan SMK Jalan 3 manakala tenaga pengajar terdiri daripada guru-guru pakar Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“Saya dan rakan-rakan rasa gembira kerana terpilih menyertai program ini. Banyak perkara yang kami dapat melalui aktiviti yang dijalankan. Selain dapat menambah ilmu, kami dapat bekerja berkumpulan, toleransi dan saling menyayangi antara satu sama lain. Kami lebih bersemangat nak belajar!” Kongsi Amy Adib Mahsuri, salah seorang peserta Kem Bestari.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang kem adalah bengkel teknik menjawab, taklimat kerjaya dan pengurusan diri serta taklimat persediaan diri dalam menghadapi peperiksaan.