TRUSTED SINCE 1984

“Kami tersepit dalam kemiskinan, apa pilihan yang kami ada?”

Kesempitan hidup antara punca sesetengah individu dengan secara paksa rela membenarkan diri mereka untuk diperdagangkan.

Sementara itu, terdapat jutaan penduduk miskin di Asia Selatan dan di kebanyakan negara miskin lain terperangkap menjadi buruh paksa yang juga terikat dengan masalah perhambaan hutang.

Pemerdagangan manusia, buruh paksa dan buruh kanak-kanak merupakan industri jenayah yang paling cepat berkembang di dunia. Ancaman perniagaan manusia dilihat sangat kompleks dan membimbangkan kerana setiap tahun, kira-kira 40 juta orang telah diperdagangkan. Lebih 70 peratus daripada angka itu adalah golongan wanita dan gadis yang kebanyakannya dieksploitasi menjadi hamba seks.

Apa yang menyedihkan, menurut kenyataan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), lebih 152 juta kanak-kanak di seluruh dunia menjadi mangsa gejala buruh kanak-kanak. Angka ini dijangka meningkat berikutan impak Covid-19 yang melanda ketika ini.

Turut dilaporkan, lebih satu daripada empat kanak-kanak yang tinggal di negara miskin terpaksa melakukan kerja yang boleh membahayakan kesihatan mereka.

Realiti di celah-celah kehidupan

“Saya tidak tahu menulis dan membaca. Saya tidak pernah bersekolah. Pada usia 14 tahun, saya telah dikahwinkan dengan seorang lelaki berumur 19 tahun yang juga buta huruf dan berasal daripada keluarga miskin. Hidup saya sentiasa dibelenggu kemiskinan.

“Saya sering jatuh sakit dan tidak mampu menyusukan anak-anak saya. Rumah kami juga selalu terputus bekalan makanan dan minuman. Akibatnya, anak-anak menjadi kurang nutrisi, kelihatan lemah dan mudah dijangkiti penyakit,” kata Kiran Devi, ibu kepada mangsa gejala buruh kanak-kanak.

Kirin tinggal di daerah Rautahat. Rautahat, salah satu kawasan yang dikenali sebagai pusat tumpuan bagi buruh kanak-kanak bekerja di Nepal.

Menurut kumpulan penyelidik Islamic Relief yang menjalankan kajian bagi mengenal pasti punca terjadinya isu menyatakan, peningkatan angka buruh kanak-kanak di Rautahat berpunca daripada keadaan sosio-ekonomi masyarakat, perubahan iklim dan budaya lama yang dibawa sejak zaman dahulu lagi.

“Walaupun suami saya bekerja, namun ia masih tidak cukup untuk menampung kos perbelanjaan hidup kami sekeluarga. Disebabkan itu, ketiga-tiga anak lelaki saya juga terpaksa bekerja di sektor kilang yang sama seperti ayah mereka,” kata Kiran Devi.

Anak bongsu Kiran, Manish, dahulunya bekerja di kilang batu yang terletak di Kerala, India. Manish telah dipaksa bekerja lebih masa setiap hari dan menerima bayaran upah yang tidak setimpal. Dia sering kelaparan kerana tidak mempunyai wang yang cukup untuk membeli makanan.

Tekanan yang dihadapi menyebabkan Manish lari pulang ke kampung.

“Saya rasa sangat sedih melihat keadaan Manish ketika itu. Badannya sangat kurus dan lemah. Dia tidak mampu untuk bekerja lagi kerana sakit.

“Anak saya Sang yang berumur 14 tahun pula, terpaksa melakukan tiga pekerjaan untuk membantu menampung perbelanjaan keluarga juga membiayai kos persekolahannya. Kami tersepit dalam kemiskinan, apa pilihan yang kami ada?

“Penderitaan hidup kami bertambah berat sejak anak perempuan saya berkahwin. Keluarga pengantin lelaki meletakkan hantaran yang sangat tinggi hingga kami terpaksa membuat pinjaman meskipun kadar faedah mencecah 30 peratus,” luah Kiran kepada pegawai penyelidik Islamic Relief penuh sedih.

Perhambaan atau ikatan hutang merupakan strategi biasa yang sering digunakan dalam jenayah pemerdagangan manusia. Individu yang terjerumus dalam kancah ini biasanya dipancing dengan janji manis melalui tawaran gaji yang lumayan namun hakikatnya dusta belaka.

Zaman kanak-kanak riang dirampas

Ancaman buruh kanak-kanak nyata telah merampas zaman riang jutaan kanak-kanak. Ia tidak hanya memerah kudrat anak kecil dengan pekerjaan yang tidak setimpal usia malahan turut mengancam keselamatan mereka.

“Ibu saya telah meninggal dunia. Ayah saya pula telah melarikan diri. Saya terpaksa bekerja mengangkat batu besar dari tepi sungai ke tapak pembinaan. Gaji yang saya perolehi hanya 200 rupees sehari,” kata Gauri, 14 tahun.

Meskipun gaji yang diperoleh Gaura sebanyak RM11 itu lebih rendah daripada had gaji minimum yang diluluskan kerajaan Nepal, namun Gauri tiada pilihan. Dia terpaksa berkerja demi meneruskan kelangsungan hidup.

Baik Gauri, anak-anak lelaki Kiran Devi, dan juga jutaan kanak-kanak lain yang terjebak dalam jenayah buruh kanak-kanak ini, mereka semua perlu dibantu. Tanpa bantuan kemanusiaan juga sokongan daripada masyarakat dunia, sukar dan hampir mustahil untuk mereka keluar dari putaran kemiskinan yang membelenggu dari satu generasi ke satu generasi.

Rentetan itu, Islamic Relief tampil mendekati golongan sasar ini dan memperkenalkan program pendidikan berbentuk kemahiran selain membantu ibu bapa dan komuniti setempat menerusi projek pembangunan komuniti.

Islamic Relief berharap, dengan adanya inisiatif-inisiatif sebegini dapat membantu golongan wanita di Nepal agar terus berani untuk berdikari seterusnya mengurangkan risiko perkahwinan bawah umur dan mangsa eksploitasi seks.