BEIRUT, 5 Ogos 2020 – Lebih 70 orang terkorban manakala hampir 4,000 lagi cedera dalam insiden letupan yang berlaku di pelabuhan Beirut, Lubnan semalam.
Angka ini dijangka akan terus meningkat memandangkan proses mencari dan menyelamat masih dijalankan.
Banyak bangunan dilaporkan musnah dengan keadaan tingkap berkecai dan siling runtuh.
Gudang penyimpanan ubat-ubatan sakit kronik, kontena, lapangan terbang Beirut, kenderaan dan jalan raya di sekitarnya juga musnah teruk.
Punca sebenar letupan itu masih belum diketahui.
Menurut pejabat lapangan Islamic Relief Lubnan, setakat ini kakitangan Islamic Relief yang berada di sana semuanya dalam keadaan selamat walaupun ada sesetengahnya berada di Beirut manakala pejabat Islamic Relief pula hanya mengalami sedikit kerosakan.
Islamic Relief Lubnan sedang merangka pelan bantuan bersama rakan kemanusiaan lain di lapangan bagi membantu penduduk terjejas.