Siklon Tropika Amphan Diramal Landa Bangladesh

BANGLADESH, 19 Mei 2020 – Siklon tropika Amphan diramal akan bergerak ke kawasan utara dan kemudian merentasi Bangladesh.

Kira-kira 13 kawasan dikatakan sangat terdedah kepada bencana siklon yang boleh mengakibatkan kemusnahan teruk seperti menjejaskan bangunan sekolah, jalan raya, bekalan elektrik, telekomunikasi, tanaman dan banyak lagi.

Taufan besar ini berkelajuan angin maksimum kira-kira 225 hingga 245 kilometer sejam menjadikan kawasan pantai adalah tempat tumpuan utama yang paling terdedah kepada ancaman.

Dijangkakan, kawasan tanah rendah dan persisiran pantai akan dilanda ribut setinggi lima hingga 10 kaki dengan kelajuan angin 140 hingga 160 kilometer sejam diiringi hujan lebat.

Pelabuhan maritim di Mongla dan Payra telah mula mengeluarkan isyarat bahaya bagi mengelakkan orang awam hadir ke kawasan itu.

Bot nelayan dan pukat tunda di Teluk Utara dan laut dalam juga dinasihatkan untuk menghentikan sementara operasi sehingga cuaca diumumkan kembali reda.

Antara keperluan mendesak yang diperlukan ketika ini ialah makanan, air bersih, kit kebersihan, tempat perlindungan dan bantuan perubatan.

Islamic Relief kini masih lagi memantau keadaan semasa di lapangan sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.