• (+603) 8926 3434
  • Info@Islamic-relief.org.my
  • (+6019) 637 9788
RISE Terima Penyerahan Barangan daripada Little Caliph International

Kajang, 09 Mac – Seramai 57 orang pelajar Refugee Intellectual Skills and Excellence (RISE) berumur dalam lingkungan 5 hingga 17 tahun telah menerima barangan ‘in kind’ daripada pengasas Little Caliphs International Sdn Bhd, Hajjah Sabariah Faridah.

 

Penyerahan barangan tersebut telah diwakili oleh ikon selebriti Islamic Relief Malaysia, Irma Hasmie yang bertujuan untuk memupuk kepentingan bersedekah di samping membuktikan bahawa nilai pembelajaran tidak cuma tertumpu kepada teori, namun dipraktikkan secara lahiriah agar mampu memberikan implikasi yang signifikan kepada anak-anak di RISE.

 

Barangan yang disumbangkan kepada anak-anak di RISE adalah koleksi produk keluaran Little Caliph International iaitu ‘Princess Solehah’ berupa peralatan tulis, botol air dan tudung yang mengetengahkan kehidupan persis srikandi muslimah pada zaman anbiya’ untuk dijadikan contoh ikutan kepada anak-anak.

 

“Sedekah boleh disumbangkan dalam pelbagai bentuk dan tidak terhad kepada kewangan, aspek tugas-tugas kemanusiaan juga meliputi pengorbanan masa dan tenaga”, kata Irma Hasmie.

 

“Semoga usaha murni sebegini akan membuka hati dan minda mereka yang mengikuti perkembangan Little Caliph dan Islamic Relief Malaysia agar kesedaran untuk mewujudkan dunia yang prihatin dapat diterapkan”, tambah Irma Hasmie.

 

“Terima kasih kepada Cikgu Faridah kerana sudi memberikan sumbangan kepada pihak kami… syukur alhamdulillah”, ucap Ustaz Bismi selaku pengetua RISE.

 

RISE merupakan pusat bimbingan alternatif yang ditubuhkan Islamic Relief Malaysia pada tahun 2017 di Taman Kajang Utama yang bertujuan untuk memberikan pendidikan asas kepada anak-anak pelarian Rohingya.