• (+603) 8926 3434
  • Info@Islamic-relief.org.my
  • (+6019) 637 9788
Penduduk India Berdepan Ancaman Baru

MUMBAI, 2 Jun 2020 – Taufan Nisarga dari Laut Arab diramal membadai persisiran pantai barat India khususnya di kawasan Maharashtra dan Gujarat yang kini turut dilaporkan sebagai kawasan tertinggi kes positif Covid-19.

 

Lebih 30 pasukan Tindak Balas Bencana Nasional Negara telah diarahkan ke lokasi terbabit bagi meninjau keadaan semasa seterusnya membantu penduduk sekitar untuk mencari tempat perlindungan yang lebih selamat.

 

Bencana ini dijangka boleh mengakibatkan kejadian tanah runtuh di Alibag, Maharashtra, 94-kilometer dari selatan Mumbai.

 

Menurut Jabatan Meteorologi India (IMD), taufan ini diramalkan membawa angin dengan kelajuan 110-kilometer sejam diikuti hujan lebat bersama ribut yang boleh mengakibatkan banjir kilat di kawasan tanah rendah.

 

IMD telah mengeluarkan amaran merah di kawasan Mumbai, Thane, Palghar, Raigad, Dhule, Nandurdbar dan Nashik manakala pihak polis Mumbai pula mengeluarkan arahan larangan menghampiri kawasan sekitar.

 

Hampir 20 ribu penduduk yang tinggal berhampiran pantai Gujarat bakal dipindahkan hari ini.

 

Bencana ini merupakan badai kedua yang melanda India selepas berlakunya taufan Amphan dua minggu lalu yang telah meragut sekurang-kurangnya 100 nyawa juga memusnahkan banyak harta benda.

 

Islamic Relief India, kini sedang memantau keadaan semasa di lapangan serta bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan serta rangkaian NGO lain sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.