• (+603) 8926 3434
  • Info@Islamic-relief.org.my
  • (+6019) 637 9788
Pemerkasaan Bidang Kemanusiaan 2019

Sebut sahaja tahun baharu, pasti yang terlintas dalam benak fikiran adalah corak langkah baharu untuk menentukan hari-hari yang mendatang bakal bermanfaat. Secara harfiahnya, tahun baharu bermakna azam baharu yang perlu dikecapi. Keazaman di dada tidak hanya berfungsi kepada seseorang individu malah ia meliputi pelbagai entiti atau organisasi besar dalam memacu setiap misi dan visi ke hadapan.

 

Islamic Relief Malaysia (IRM), selaku badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, tidak ketinggalan untuk berada dalam landasan baharu demi memperjuangkan dunia kemanusiaan yang menjadi kayu ukur untuk membenteng nasib penerima manfaat, sama ada di dalam atau luar negara.

 

Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin sempat berkongsi strategi-strategi yang bakal dilaksanakan atas tujuan kepesatan dan pembangunan dunia kemanusiaan itu sendiri. Katanya, pergerakan IRM berasaskan pelan perancangan 2017 – 2021 yang mengetengahkan prinsip membantu golongan-golongan khas seperti Orang Kurang Upaya (OKU) dan Orang Asli selain menyantuni komuniti awam.

 

“IRM bergerak seiring dengan perancangan lima tahun iaitu 2017 – 2021. Bagi tahun ini, IRM menggunakan pendekatan berbeza dalam membina kluster-kluster yang menekankan hala tuju secara sistematik kepada kepakaran dalam kalangan kakitangan IRM itu sendiri yang terlibat dalam Program Domestik,” katanya ketika sesi temubual bersama penulis.

 

Bagi tahun ini, kluster-kluster yang dimaksudkan terbahagi kepada tiga cabang utama iaitu Pengurangan Risiko Bencana (DRR) dan Kecemasan, Perlindungan dan Program Bermusim, dan Kehidupan Mampan dan Kesihatan. Setiap cabang yang digariskan berperanan untuk melicinkan sistem supaya pelaksanaan program dapat bergerak dengan lancar.

“Sebelum ini, kita mempunyai sekitar 15 orang kakitangan dalam bahagian Program Domestik yang aktif dan kita cuba menjadi ‘cost-effective’ menerusi jalinan kerjasama dengan rakan pelaksana tempatan yang lain untuk memberikan khidmat dan pelaksanaan di seluruh Malaysia.

 

“Namun setelah dikaji, kita dapati bahawa kakitangan IRM sendiri mempunyai kecenderungan dan minat mereka mengikut kluster-kluster baharu yang ditetapkan. Saya juga beranggapan bahawa ia merupakan pelan tindakan strategik jangka panjang memandangkan ia selari dengan hala tuju IRM untuk menjadikan bidang kemanusiaan ini sebagai kerjaya. Ia ibarat satu peluang kepada mereka yang ingin mengembangkan kemahiran mereka dalam dunia kemanusiaan.

 

Jelas Zairulshahfuddin lebih lanjut, “Sebagai contoh, DRR dan Kecemasan adalah kluster yang akan bertindak balas terhadap bencana yang berlaku tanpa jangkaan atau sebaliknya seperti kebakaran, tanah runtuh, mahupun banjir kilat. Maka kakitangan yang terlibat inilah akan ditugaskan untuk bertindak memberi bantuan dalam pelbagai bentuk seperti bantuan kit kecemasan, kit kebersihan, dan sebagainya.

 

“Dalam nada yang sama juga, kita mengambil kira modus operandi pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa turut menitikberatkan kluster DRR dan Kecemasan secara global. Dalam konteks ini, kluster DRR menumpukan pendekatan terhadap pencegahan apabila berlakunya kecemasan menerusi latihan dan ilmu amali bersama-sama dengan komuniti yang terdedah kepada apa jua bencana. Secara tidak langsung, ia dapat meminimumkan jumlah kerosakan yang bakal berlaku.”

 

Selain itu, unit Perlindungan pula menegaskan kepentingan perlindungan kepada kanak-kanak dan wanita memandangkan 80 hingga 90 peratus penerima manfaat yang disantuni sebelum ini rata-ratanya tergolong dalam kategori berkenaan. Zairulshahfuddin melihat golongan ini sebagai satu unsur yang penting dan perlu dijaga dengan rapi semasa pelaksanaan projek sedang berlangsung. Logiknya, ia diwujudkan bagi menjaga maklumat peribadi dan status kanak-kanak serta wanita sentiasa dijaga dengan baik agar tiada anasir-anasir luar menyalahgunakan maklumat yang diperoleh.

 

Bagi kluster terakhir yang menekankan elemen kehidupan mampan, IRM merancang untuk mewujudkan kehidupan baharu bagi penerima manfaat yang mempunyai cita-cita dalam memperbaiki status sosial mereka menerusi penyerapan ilmu mengenai perniagaan dan pendapatan.

 

“Kluster kehidupan mampan pula melibatkan penerima manfaat yang ingin mengubah hidup mereka menerusi perniagaan, penambahan ilmu, dan meningkatkan ketrampilan serta kemahiran mereka dalam usaha mencari peluang-peluang bagi meningkatkan pendapatan yang sedia ada. Jadi, kita akan mengupayakan penerima manfaat seperti ini supaya mereka tidak akan selamanya hidup dalam keadaan statik.

 

Di samping itu, IRM juga akan memperkasakan lagi kempen-kempen dalam talian yang diselaraskan oleh bahagian Komunikasi dan Kempen dengan pendekatan terhadap laman web rasmi sendiri termasuklah program-program tempatan kita menerusi media elektronik termasuklah media cetak. Ia bertujuan untuk menyebarluas segala maklumat-maklumat penting bagi tujuan kesedaran dalam kalangan komuniti tempatan agar mereka sentiasa cakna dengan isu-isu kemanusiaan global.

Berbicara mengenai kekuatan IRM pula, Zairulshahfuddin menggariskan beberapa keistimewaan yang ada pada IRM sebagai entiti antarabangsa.

 

“Sebagai organisasi yang mempunyai 46 buah rangkaian dari serata dunia, capaian antarabangsa merupakan salah satu kekuatan IRM semasa kempen giat berlangsung. Pelbagai maklumat diperolehi secara langsung daripada lapangan dan ia ibarat permata yang bernilai untuk disampaikan kepada masyarakat awam secara langsung.

 

“Selain itu, sokongan daripada kakitangan dan sukarelawan IRM turut berperanan dalam perancangan dan pelaksanaan untuk merealisasikan sesuatu program tanpa mengenal erti penat lelah. Saya percaya, mereka adalah tulang belakang yang menegakkan amanah dan mandat yang diberikan dalam meningkatkan usaha menyantuni penerima manfaat kita.

 

“Dalam media arus perdana juga, kekuatan kami terletak pada pelbagai media sosial yang menjadi penghubung kepada orang ramai dengan penerima manfaat menerusi mesej-mesej dan laporan kemanusiaan semasa demi memantapkan lagi kepercayaan mereka kepada IRM. Ia ibarat titik tengah untuk merapatkan orang ramai yang tidak cakna mengenai dunia kemanusiaan dengan penerima manfaat.

 

Setiap usaha pasti didatangi dengan cabaran bagi menghasilkan impak yang berguna. Jika tiada cabaran, apalah ertinya usaha. Dalam dunia kemanusiaan. Zairulshahfuddin turut berpendapat bahawa sebagai entiti atau pertubuhan bukan kerajaan, dana yang diterima tidak bersifat tetap. Ia memerlukan kerahan tenaga daripada pelbagai cabang dan diiringi dengan doa agar niat murni ini dapat diteruskan tidak kira dalam apa jua keadaan. Dalam hal ini, beliau percaya komitmen yang lebih agresif perlu dipertingkatkan untuk merakyatkan orang ramai dalam dunia kemanusiaan.

 

Dengan suasana ekonomi dunia yang statusnya sentiasa berubah dari semasa ke semasa, ia juga dilihat sebagai faktor yang agak mencabar dalam dunia kemanusiaan kerana semua NGO bergantung pada dana hasil sumbangan daripada orang ramai. Secara amnya, tiada paksaan boleh dilakukan. Tambahan pula, aktviti kesukarelawanan juga memerlukan tenaga kerja sukarelawan untuk menjayakan sesebuah program merupakan cabaran tambahan memandang para sukarelawan berkhidmat secara suka dan rela, dan tiada paksaan dalam hal ini.

 

Secara holistiknya, perancangan IRM dalam dunia kemanusiaan terbentuk dalam sistem jangka masa panjang. Jika dinadakan dalam bentuk perniagaan, perniagaan yang dijalankan adalah untuk penerima manfaat semata-mata bagi memastikan mereka sentiasa diangkat dan disantuni. Apa yang penting, IRM akan terus menjulang dan memperjuang mesej-mesej kemanusiaan demi memartabatkan dunia kemanusiaan bersepadu dalam usaha mewujudkan budaya prihatin terhadap isu-isu yang berlaku di serata dunia.