MyYateem Charity Week

ISLAMIC RELIEF MALAYSIA
#WeAreOneBody

MYYATEEM CHARITY WEEK

Jom Sertai MyYateem Charity Week Anjuran Islamic Relief Malaysia. Bersama kita Bantu dan Santuni Anak Yatim Sempena Memperingati Bulan Kelahiran Nabi Muhammad S.A.W.

Tahukah Anda?

MyYateem Charity Week merupakan platform untuk mengajak para sukarelawan melibatkan diri dalam aktiviti penjanaan atau pengumpulan dana bagi membantu anak yatim juga kanak-kanak memerlukan di seluruh dunia.

Program Charity Week mula dicetuskan oleh sekumpulan sukarelawan Islamic Relief di London pada tahun 2003 dengan visi melaksanakan kerja kebajikan bersama-sama secara berkumpulan. Visi yang dibawa cuba untuk mengukuhkan prinsip bahawa “UNITY” atau perpaduan akan menjadikan kita semua lebih kuat berbanding gerak kerja sendirian. Ia selari dengan pepatah melayu sepakat kita kuat, berpecah kita rebah.

Dalam tempoh 18 tahun ini, Charity Week telah menjadi acara tahunan global dalam kalangan sukarelawan Islamic Relief dan telah berjaya mengumpulkan lebih 9 juta dolar untuk manfaat anak-anak yatim dan kanak-kanak memerlukan di 28 buah negara.

Tahun ini Charity Week membawa tema “We Are One Body” dan menyasarkan pengumpulan dana sebanyak 1 juta dolar untuk membantu projek pendidikan di Idlib, Syria dengan kerjasama sukarelawan di bawah kelolaan 8 buah rangkaian Islamic Relief. Daripada jumlah keseluruhan, Islamic Relief Malaysia menyasarkan kutipan dana sebanyak RM70,000.

Sedekad Dibelenggu Konflik, Syria Terus Menderita

Sepanjang tempoh 10 tahun Syria dihantui konflik peperangan, jutaan penduduk hilang tempat tinggal. Mereka terpaksa hidup dalam ketakutan, kelaparan dan penderitaan yang tiada penghujung.

Kanak-kanak antara kelompok yang terjejas teruk, kesan pergolakan yang berlaku. Mereka terpaksa melihat perilaku keganasan sejak kecil, menjadi pelarian dan juga hilang atau terpisah dengan ibu bapa dan keluarga.

Menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), hampir 2.45 juta kanak-kanak di Syria tidak mendapat akses pendidikan manakala bagi yang berjaya ke sekolah pula terpaksa belajar dalam keadaan serba kekurangan antaranya suasana kelas yang terlalu sesak, bangunan sekolah yang kekurangan kemudahan air, sanitasi, bekalan elektrik dan alat pemanas.

Kira-kira 86 peratus institusi pendidikan bagi golongan kanak-kanak di negara itu memerlukan bantuan pendidikan untuk terus kekal beroperasi. Mereka bukan sahaja kekurangan kemudahan dan alatan pembelajaran malahan tenaga pengajar juga terhad.

Rentetan itu, Islamic Relief mengambil inisiatif untuk membantu sektor pendidikan di Idlib, Syria bagi meningkatkan akses pendidikan berkualiti dengan suasana kondusif kepada para pelajar.

Ia bagi memastikan kanak-kanak di Syria dapat meneruskan persekolahan selain mengukuhkan sistem pendidikan sedia ada.

Antara bantuan yang diberikan menerusi projek ini ialah:

  • Sumbangan alat tulis kepada 21,900 pelajar
  • Penyediaan makanan, alat bantu mengajar, alatan sukan dan kemudahan lain di 60 buah sekolah
  • Pembayaran gaji bulanan kepada 22 orang guru dan kakitangan pengurusan sekolah yang mengikuti program latihan sokongan yang dianjurkan Islamic Relief.

Jangan lepaskan peluang untuk menyertai MyYateem Charity Week. Bersama kita bersatu membantu anak-anak yatim di Syria mendapatkan peluang pendidikan yang menjadi hak asasi setiap manusia. #CW2021 #WeAreOneBody

 

Sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa yang memelihara seorang anak yatim dengan memberi makanan dan minuman dengan puas, maka Allah SWT memasukkan ia ke dalam syurga kecuali ia mengerjakan dosa yang tidak dapat diampuni.”

[Hadis Riwayat At-Tirmizi]

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on email