Dariku Untukmu…Langkah Berani

ISLAMIC RELIEF MALAYSIA
Dariku Untukmu...

LANGKAH BERANI

Setiap insan berhak mendapat kehidupan yang selesa dan sempurna.

Sedarkah…jutaan orang di seluruh dunia sedang berjuang bermati-matian untuk keluar dari putaran kemiskinan yang membelenggu mereka sejak sekian lama. Yang lebih menyedihkan, 8% daripadanya adalah kaum wanita yang dicipta Allah dari tulang rusuk Adam untuk dilindungi dan dibela nasibnya. Terdapat 23.1 juta rakyat di Filipina, 364 juta rakyat di India dan 264 juta rakyat di Indonesia hidup di bawah paras kemiskinan. Di Syria, sembilan daripada 10 orang penduduknya bergantung harap kepada bantuan kemanusiaan untuk kelangsungan hidup. Kesempitan hidup menyebabkan ibu bapa lebih runsing untuk memikirkan suapan dan perlindungan untuk anak-anak berbanding keperluan penting seperti pendidikan, kebersihan, kesihatan dan lain-lain. Senario ini menjadikan kemiskinan rantaian warisan sesebuah keluarga.

“Kehidupan sempurna menjadi impian setiap insan…namun ia kekal sebagai mimpi buat saudaraku yang dibelenggu kemiskinan akibat konflik peperangan yang berpanjangan mahupun bencana alam yang datang menguji.”

Apa pilihan yang saudaraku ada? Masih ada peluangkah untuk saudaraku keluar dari takuk ini?

Malunya kami ketika berpeluang menghadiri institusi pendidikan, kami sia-siakan.

Malunya kami ketika dibanjiri dengan makanan yang sihat, kami bazirkan.

Malunya kami ketika kami diberi rumah yang sempurna, tidak kami syukuri.

Malunya ketika semua limpahan nikmat ini diberi, kami masih tamak mahukan lebih lagi.

Saudara-saudaraku, tunggu… Ubati lukamu dengan semangat membara. Dariku Untukmu Ada sesuatu yang menanti bagi mengubah kehidupan kalian untuk meLangkah lebih Berani. Ada harapan dan jalan terbuka untuk kalian daripada sokongan insan yang berhati wangi. Ayuh bersama melangkah, berpimpin tangan menuju masa depan indah.