• (+603) 8926 3434
  • Info@Islamic-relief.org.my
  • (+6019) 637 9788
30 Pelajar Khas Disantuni

Johor Bahru, 23 Jan 2019 – 30 pelajar Sekolah Agama Pendidikan Khas Johor Bahru, Johor disantuni dengan bantuan kelengkapan persekolahan menerusi program Cheer to School (CTS) anjuran Islamic Relief Malaysia (IRM).

 

Program yang melibatkan pelajar Kurang Upaya Pendengaran itu dibekalkan dengan keperluan asas persekolahan agar mereka lebih bersemangat untuk meneruskan sesi pembelajaran di sekolah.

 

Program itu turut mendapat sokongan daripada guru-guru sekolah berkenaan dalam membantu meringankan bebanan yang dihadapi oleh keluarga pelajar.

 

Guru Besar Sekolah Agama Pendidikan Khas Johor Bahru, Norhafizah Suhaimi berkata, “Sebenarnya apabila kita bercampur dengan komuniti ini, limpahan rezeki itu luas. Ia juga merupakan rezeki kita. Terima kasih kepada IRM kerana menyantuni golongan seperti ini. Program CTS ini ibarat hadiah untuk mereka merasai nikmat seperti anak-anak di luar sana.

 

“Ia juga membuka peluang dan ruang untuk orang ramai tahu tentang kewujudan anak-anak ini dan saya percaya rasa tanggungjawab itu wujud apabila kita berdamping dengan mereka.”

 

Dalam program tersebut, para pelajar dibawa membeli belah ke Mydin Johor Bahru untuk membeli barang kelengkapan seperti set pakaian sekolah, kasut sekolah, stokin, alat tulis, buku, dan pakaian sukan.