104 orang maut dalam banjir monsun di India

INDIA, 21 Julai 2020 – Banjir monsun telah mengakibatkan kematian 104 orang dan menjejaskan 3,500,000 orang di 28 daerah Assam sementara 300,731 orang terjejas di 8 daerah Bihar.

Daerah yang paling teruk terjejas di Assam adalah Barpeta, Dhubri dan terutamanya Morigaon di mana telah menjejaskan 420,384 orang sementara Sithamari, Supaul, Muzaffarpur, dan Sheohar adalah daerah yang paling teruk terjejas di Bihar.

Jabatan Meteorologi India (IMD) telah mengeluarkan amaran hujan lebat di Nepal yang bakal mengeruhkan keadaan semasa di Bihar dan Assam.

Sungai Brahmaputra di Assam, sungai Adhwara, Bagmati, dan Gandak di Bihar mengalir di atas paras bahaya.

Menurut Jabatan Perhutanan India, lebih 80% Taman Negara Kaziranga telah dinaiki air dan 66 haiwan liar termasuk dua ekor badak telah terkorban.

128,495 hektar tanah pertanian telah terjejas oleh banjir besar yang akan memberi kesan jangka panjang kepada kelangsungan kehidupan penduduk.

Banjir ini telah memburukkan lagi implikasi wabak pandemik COVID-19 apabila ribuan keluarga terpaksa berlindung di tambak, lebuh raya, sekolah, dan platform yang ditinggikan tanpa penjarakan sosial.

Keperluan mendesak ketika ini adalah keperluan asas terutamanya perkhidmatan dan rawatan kesihatan juga air minuman yang bersih.

Islamic Relief kini sedang memantau keadaan semasa di lapangan serta bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk menyalurkan bantuan kecemasan sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.