• +60389263434
  • info@islamic-relief.org.my
DONATE
NOW
In Malaysia

Islamic Relief Malaysia Lancar Projek Dana Wakaf Air Somalia

Kajang, 23 Julai 2017 – Lebih 10,000 penduduk dari Wilayah Shabelle, Somalia bakal menerima manfaat impak daripada pembinaan dua unit telaga di kawasan tersebut.

Projek Dana Wakaf Air Somalia diperkenalkan oleh Islamic Relief Malaysia (IRM) dalam usaha memberikan penyelesaian jangka masa panjang kepada rakyat Somalia yang mengalami krisis kebuluran akibat kemarau berpanjangan sejak tahun 2011.

Perkara itu dijelaskan oleh Ketua Bahagian Program IRM, Kamarul Halim Sakrani mewakili Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin yang sedang bertugas di luar negara ketika ini. Beliau ditemui di Majlis Rumah Terbuka Eidulfitri Bersama Asnaf anjuran IRM dengan kerjasama Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) yang diadakan di Dewan Masjid UNITEN, hari ini.

“Susulan daripada tinjauan dan penilaian yang dibuat oleh pasukan Misi Kemanusiaan IRM ke Somalia pada Ramadan lalu, kami melihat projek ini memberi kesan jangka masa panjang sehingga 20 ke 30 tahun akan datang bukan sahaja kepada rakyat Somalia tetapi juga binatang ternakan dan tanaman yang diusahakan oleh mereka.

“Kami menyasarkan kutipan dana sebanyak RM1.5 juta melalui projek ini dan ia akan dilaksanakan oleh Islamic Relief Somalia (IR Somalia) yang telah bertapak di sana sejak tahun 2006,” kata Kamarul lagi.

 

Majlis Rumah Terbuka Eidulfitri Bersama Asnaf

Dalam pada itu, Majlis Rumah Terbuka IRM-UNITEN dihadiri kira-kira 800 pengunjung yang terdiri dari kalangan pihak penaja, rakan kemanusiaan IRM, penerima manfaat, para penyumbang, sukarelawan, rakan-rakan media serta orang awam.

Ia bertujuan untuk meraikan dan merapatkan ukhuwah dikalangan semua pihak yang terlibat dengan IRM serta mempromosikan beberapa produk penerima manfaat IRM seperti kek, pakaian dan ikan pekasam.

300 penerima manfaat yang diraikan hadir dari sekitar Lembah Klang iaitu Rumah Warga Terdampar Mahmudah, Persatuan Orang Kurang Upaya Anggota Melayu Malaysia (POKOAM), Rohingya Intellectual Skill & Excellence (RISE), Persatuan Rumah Amal Murni Kajang, PPR Batu Muda, Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), Rumah Kami, Pertubuhan Ibu Tunggal Rangkaian Hati (PITRAH), Malaysian Chinese Muslim Association Selangor (MACMA), Biro Wanita Muslimah PPR Kota Damansara, Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia (PKOKM) dan PRISMA.

Majlis dirasmikan oleh Prof. Dr. Siti Salbiah Mohamed Shariff, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan & Pengurusan) UNITEN yang mewakili Dato’ Prof. Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha, Naib Canselor UNITEN.

Selain pelancaran Dana Wakaf Air Somalia dan pameran produk-produk penerima manfaat, aktiviti lain yang diadakan ialah penyerahan duit raya oleh Ketua Pembangunan Perniagaan (Projek Khas) MOLPay, Azizul Fikri serta persembahan artis oleh kumpulan Raihan, Syed Amran, Encik Mimpi dan Soul Brothers.

Majlis turut dihadiri oleh wakil Kelly & Kids selaku penaja produk makanan ringan dan wakil dari Hotel Bangi Putrajaya dan Bangi Golf Resort yang menyerahkan cek sumbangan kepada IRM hasil kutipan sepanjang bulan Ramadan baru-baru ini.

MOLPay merupakan salah satu gerbang pembayaran di Asia Tenggara yang membolehkan pengguna menyumbang menerusi pelbagai saluran dan mata wang, melalui kad debit atau kad kredit, perbankan domestic dan pembayaran Online-to-Offline (O2O) yang dikenali sebagai MOLPay CASH.