Islamic Relief menggesa Israel agar melaksanakan gencatan senjata berpanjangan bagi memberi jaminan kedamaian terhadap penduduk di Gaza, serta membuka semula pintu sempadan bagi memudahkan urusan keluar masuk barangan dan individu ke wilayah itu.

Sekurang-kurangnya 46 warga Palestin, termasuk enam kanak-kanak maut sejak petang Jumaat lalu, manakala 360 lagi dilaporkan cedera melibatkan ramai kanak-kanak.

Israel dalam kenyataannya berkata, pihaknya merancang untuk meningkatkan lagi operasi ketenteraan pada minggu seterusnya.

Islamic Relief memberi amaran bahawa serangan yang akan dilancarkan selepas ini pasti meragut lebih banyak nyawa orang awam.

Pasukan bersenjata Palestin juga telah meningkatkan serangan tembakan roket terhadap Israel selepas pengeboman berlaku dan mengakibatkan tujuh warga Israel cedera.

Islamic Relief mengecam sekeras-kerasnya sebarang tindakan keganasan terhadap orang awam.

“Kami telah menyaksikan kanak-kanak terbunuh, manakala rumah rosak teruk dalam tempoh 24 jam yang lalu. Ketika ini, penduduk Gaza sedang dalam ketakutan memikirkan apa yang bakal terjadi pada hari-hari seterusnya. Apa yang kami ketahui berdasarkan kejadian pada tahun-tahun sebelum ini, apabila siri pengeboman meningkat, ramai orang awam akan terbunuh, cedera, serta dipaksa keluar dari rumah mereka. Tahun lalu, lebih satu perempat daripada mangsa yang terkorban dalam serangan pengeboman yang dilancarkan merupakan kanak-kanak. Ribuan rumah, hospital, sekolah dan pusat kesihatan turut musnah serta mengalami kerosakan.

“Selain pengeboman, dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini, Israel telah menutup dua laluan masuk dan keluar dari Gaza lantas mengakibatkan penghantaran bahan api terhenti, sedangkan hospital, sistem air dan bekalan elektrik sangat memerlukannya untuk kekal beroperasi. Kini, kami mengalami gangguan bekalan elektrik selama 20 jam sehari dan kemudahan awam utama yang lain turut berdepan risiko untuk ditutup ekoran kehabisan bekalan penjanaan elektrik.

“Berikutan itu, masyarakat antarabangsa perlu memberi tekanan bagi mendesak Israel agar segera menghentikan pengeboman dan membuka semula pintu sempadan di Gaza,” kata Muneeb Abu Ghazaleh, Pengarah Negara Islamic Relief Palestin.

Islamic Relief turut menyeru agar Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa dihormati, termasuk prinsip-prinsip dalam kewujudan perbezaan, langkah berjaga-jaga dan perimbangan mengikut kadar. Individu dan infrastruktur awam tidak boleh menjadi sasaran, manakala tindakan kekerasan yang berlebihan tidak boleh digunakan.

Peningkatan serangan terbaru ini berlaku setelah lebih 14 bulan gencatan senjata dilaksanakan pada Mei 2021 antara Israel dan Hamas berikutan pengeboman selama 11 hari yang telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 230 rakyat Palestin terkorban, termasuk 65 kanak-kanak, manakala lebih 1,700 orang lagi cedera. Insiden itu turut menyebabkan sepuluh warga Israel terbunuh.

Turut dilaporkan, lebih 14,000 kediaman penduduk Palestin mengalami kerosakan dan musnah. Gencatan senjata telah memberi ketenangan sementara, namun punca krisis dan masalah ketidakadilan yang dibuat Israel dalam menjarah kawasan masih berterusan. Islamic Relief menyeru agar Israel menamatkan perebutan dan sekatan yang dilakukan ke atas Gaza bagi menyelesaikan masalah yang sudah lama menjadi akar umbi dalam undang-undang dan keadilan antarabangsa ini.

Keadaan di Gaza amat mengerikan. Sekatan Israel yang berlarutan sepanjang 15 tahun ini telah memisahkan penduduk Gaza daripada warga Palestin lain dan dunia luar keseluruhannya. Sekatan pergerakan orang dan barangan yang sangat ketat telah menghalang individu untuk bertemu ahli keluarga masing-masing serta melumpuhkan sektor perkhidmatan penting dan menjatuhkan pasaran ekonomi di wilayah itu.

Dahulu, sumber ekonomi di Gaza rancak dan berkembang baik. Kini, segalanya berubah. Kira-kira 80 peratus penduduknya terpaksa bergantung hidup dengan bantuan kemanusiaan dan ramai kanak-kanak tidur dalam kelaparan pada waktu malam. Gaza juga mencatatkan kadar penggangguran belia antara yang tertinggi di dunia.

Islamic Relief sudah beroperasi menyelamatkan nyawa di Gaza sejak tahun 1997 melalui pelbagai sektor bantuan antaranya kecemasan, kesihatan, makanan, pendidikan dan lain-lain.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyumbang menerusi kempen Pembangunan Rayuan Palestin. Layari laman sesawang www.islamic-relief.org.my atau hubungi 03-8926 3434 untuk maklumat lanjut.

Untuk Pertanyaan Media
Sebarang pertanyaan media atau permintaan maklumat lanjut berkaitan siaran ini, sila hubungi:

Unit Komunikasi Strategik Islamic Relief Malaysia
E-mel: Malaysia.Media@islamic-relief.org.my
Telefon: +6019-220 1788 atau +603-8926 3434

Islamic Relief Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan mana-mana laman web pihak luar dan tidak bertanggungjawab terhadap kandungan atau pautan pada laman web yang bukan milik atau dikendalikan oleh Islamic Relief Malaysia. Islamic Relief Malaysia mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menjalankan kutipan sumbangan. Setiap sumbangan dalam talian melalui Perbankan Internet akan dikenakan caj transaksi sebanyak RM0.55, tertakluk kepada terma dan caj yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan pembayaran. Sumbangan yang dibuat melalui saluran ini tidak layak menerima resit Pengecualian Cukai, melainkan dinyatakan sebaliknya. Kami menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan anda terhadap Islamic Relief Malaysia.

© Copyright 2026 Islamic Relief Malaysia. All rights reserved | Company Reg No: 200401018851 (657354-W)

JOM MENYUMBANG