Angka Kematian Siklon Amphan Meningkat

NEW DELHI, 22 Mei 2020 – Lapan puluh orang maut di Benggala Barat, 3 di Odisha, India dan 16 di Satkhira, Bangladesh susulan badai siklon Amphan yang melanda kawasan terbabit sejak dua minggu lalu.

Seramai 4.5 juta penduduk di Odisha dan 2.5 juta penduduk di Bangladesh dilaporkan terjejas dalam kejadian yang sama.

Di Satkhira, Bangladesh kira-kira 22,515 kediaman musnah teruk manakala 60,916 lagi mengalami beberapa kerosakan.

Dianggarkan, 10 ribu pokok tumbang di Kolkata, mengakibatkan bekalan elektrik dan talian komunikasi terputus.

Landasan di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kolkata juga telah ditenggelami air dan turut meruntuhkan kemudahan yang ada di sana lantas menyukarkan kerja-kerja penyaluran bantuan.

Selain itu, stesen pengangkutan awam turut mengalami kerosakan sehingga menghalang penduduk sekitar untuk bergerak ke bandar.

Tapak warisan dunia UNESCO di Sundarban yang masyhur kerana hutan paya bakau dan populasi harimau Bengali yang terancam turut dibadai taufan dengan teruk.

Pihak kerajaan terpaksa menggunakan ‘drone’ sebagai alat bantuan untuk meninjau kerosakan yang berlaku kerana kebanyakan kawasan di Benggala Barat masih tidak dapat diakses.

Lebih 100 pasukan telah diarahkan menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat di India manakala satu pasukan khas bahagian pengurusan bencana sedang bersiap siaga untuk membantu penghuni kem pelarian Rohingya, Cox’s Bazar seandainya berlaku kejadian tanah runtuh.

Ketika ini, Islamic Relief India sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi merangka pelan bantuan jangka panjang yang memberi fokus kepada projek baik pulih serta pasca bencana.